Foto Facebook Amirudin Shari
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB pelawa warga Hulu Selangor meriahkan rumah terbuka Aidilfitri Sabtu ini

SHAH ALAM, 26 APRIL: Dato’ Menteri Besar menjemput penduduk Hulu Selangor hadir memeriahkan Jelajah Kita Selangor Aidilfitri pada Sabtu ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari berharap dapat bersua serta bergembira bersama sempena program rumah terbuka yang berlangsung di padang awam Hulu Bernam, mulai jam 8 malam

“Saya menjemput warga Hulu Selangor ke Jelajah Kita Selangor Aidilfitri pada Sabtu ini bermula jam 8 malam di Padang Taman Awam Hulu Bernam.

Meriahkan suasana bersama kaum keluarga dan sahabat handai, harap kita dapat bersua dan bergembira bersama,” katanya di Facebook.

Berlangsung di sembilan daerah, Jelajah Kita Selangor Aidilfitri membuka tirai Jumaat ini di tapak pasar pagi Pekan Salak, Sepang, diikuti padang awam Hulu Bernam, Hulu Selangor (29 April) dan Padang Taman Sri Kerayong, Klang (30 April).

Rumah terbuka negeri juga berlangsung di Tapak Agora Night Market Taman Sri Nanding, Hulu Langat (5 Mei), tapak pasar malam Sungai Buloh, Petaling (6 Mei) dan Taman Perwira Sijangkang, Kuala Langat (7 Mei).

Program tersebut diteruskan di Dataran Tanah Lesen, Parit Baru, Sabak Bernam (12 Mei) dan padang awam Bukit Badong, Kuala Selangor (13 Mei).

Jelajah bakal berakhir di tapak Uptown Sri Gombak, Gombak pada 14 Mei yang dijadual dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selain rumah terbuka, pengunjung juga dapat menyaksikan pelbagai hebahan inisiatif Kerajaan Negeri melalui Iltizam Selangor Penyayang (ISP) yang turut disedia dan boleh segara dipohon.


Pengarang :