Enam juta rakyat Selangor berusia 30 hari ke 80 tahun bakal menerima perlindungan insurans am berkumpulan menerusi Skim Insurans Hayat Selangor (INSAN). Grafik Selangorkini
AGENDANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB: Selangor tukar polisi insurans konsep Islamik bagi penerima beragama Islam

GOMBAK, 9 APRIL: Polisi penerima insurans percuma, Skim Insurans Am Selangor (INSAN) bagi yang beragama Islam akan ditukar kepada konsep Islamik bermula Mei depan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perincian berkenaan pertukaran itu akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Kerajaan Negeri telah putuskan mulai Mei boleh laksanakan pertukaran. Nanti saya akan lancarkan bagaimana perinciannya.

“Yang muslim kita akan tukar (polisi islamik) manakala bukan muslim kekalkan konvensional. Ia akan bertukar secara automatik tetapi akan maklumkan kemudian dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyampaikan sumbangan Aidilfitri itu bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia di Dewan Beringin Taman Seri Gombak hari ini.

Terdahulu, Amirudin yang juga ahli parlimen Gombak turut menyampaikan sumbangan sama bagi DUN Hulu Kelang di Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) AU2.

INSAN adalah perlindungan insurans am berkumpulan dilaksanakan agensi Kerajaan Negeri, Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI kepada enam juta rakyat Selangor dan ditawarkan kepada individu berumur bermula dari 30 hari sehingga 80 tahun.

Syarat kelayakan untuk mendaftar INSAN dilonggar kepada pemegang kad pengenalan atau My Kid beralamat di Selangor berbanding sebelum ini hanya pemegang kad pengenalan kod negeri ini atau pengundi di Selangor layak mendaftar.

Skim dengan nilai perlindungan RM60 bilion itu memberi perlindungan insurans sehingga RM10,000 bagi kes hilang keupayaan kekal dan kematian disebabkan kemalangan boleh didaftar mulai 1 Oktober lalu hingga 30 September tahun depan.

Pendaftaran boleh dibuat dengan memuat turun aplikasi e-dompet Wavpay melalui App Store atau Google Play sementara maklumat lanjut boleh diperoleh melalui pautan www.wavpay.net


Pengarang :