Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengedarkan kupon Platform Selangor (PLATS) RAHMAH kepada pengunjung Bazar Ramadan USJ 4, Subang Jaya pada 9 April 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

MBI peruntuk RM50,000 bantu penduduk beli juadah buka puasa

SUBANG JAYA, 9 APRIL: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI memperuntuk RM50,000 bagi mengagihkan baucar Rahmah bernilai RM5 di lima bazar terpilih.

Dato’ Menteri Besar berkata inisiatif julung kali diperkenal Platform Selangor (PLATS) bertujuan menggalakkan sistem bayaran tanpa tunai selain meringankan beban penduduk ketika membeli juadah berbuka puasa.

Dengan jumlah itu kita sediakan 10,000 kupon untuk diagih ke lima bazar terpilih iaitu di USJ 4, Seksyen 7 Shah Alam, Damansara Damai, Cyberjaya Park dan Taman Melawati Gombak.

“Hari ini kita agih 4,000 kupon dengan 1,000 keping kepada pengunjung bazar manakala bakinya menerusi agihan awal dibuat MBI kepada penjawat awam, komuniti dan pelajar,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari hari ini.

Terdahulu beliau mengagihkan kupon terbabit kepada pengunjung bazar Ramadan USJ 4 di sini selain beramah mesra dengan peniaga.

Amirudin berkata kupon berkenaan boleh ditebus di mana-mana peniaga bazar bagi memudahkan orang ramai membeli makanan.

“Peniaga perlu simpan kupon terbabit. Pihak berkuasa tempatan akan datang untuk menguruskan proses menebus wang tunai,” katanya.

Sebelum ini Kerajaan Selangor menggalakkan peniaga makanan negeri ini menyertai inisiatif Menu Rahmah berharga RM5 selepas diperkenalkan kerajaan persekutuan.

Langkah berkenaan membuka peluang kepada mereka yang kurang mampu mendapatkan makanan pada harga berpatutan.


Pengarang :