Datuk Bandar Shah Alam Dr Nor Fuad Abdul Hamid (dua, kiri) memberi cenderahati kepada peniaga di bazar Ramadan Rahmah Seksyen 19, Shah Alam pada 12 April 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

MBSA kumpul hampir 3,000 kg lebihan makanan, minuman di bazar Ramadan

SHAH ALAM, 12 APRIL: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengumpul 2,958.6 kg lebihan makanan dan minuman selama 14 hari pelaksanaan program ‘MBSA MYSave Food@Bazar Ramadan 2023’.

Datuk Bandarnya berkata daripada jumlah itu, 1,461.5 kg adalah makanan dan 1,497.1 kg minuman berjaya dikumpul dari 23 Mac sehingga semalam.

Datuk Bandar Shah Alam Dr Nor Fuad Abdul Hamid bercakap kepada media selepas mengedarkan bubur lambuk kepada pengunjung di bazar Ramadan Rahmah Seksyen 19, Shah Alam pada 12 April 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Ia ini merupakan aktiviti pengumpulan lebihan makanan daripada peniaga bazar Ramadan dan mengagihkannya kepada golongan B40 dan yang memerlukan.

“Program itu dianjurkan di tiga lokasi bazar Ramadan iaitu Seksyen 7, Seksyen 17 dan Seksyen 20 juga bagi mengelakkan berlakunya pembaziran makanan di bazar Ramadan,” kata Dr Nor Fuad Abdul Hamid.

Beliau ditemui selepas mengedarkan kod promosi dan bubur lambuk kepada pengunjung bazar Ramadan rahmah Seksyen 19, di sini hari ini.

Katanya program MBSA MYSave Food@Bazar Ramadan 2023 turut mendapat kerjasama sukarelawan daripada Pertubuhan Pemuda Gema Malaysia dan Briged Sukarelawan UiTM.

Terdahulu, MBSA mengedarkan kod promosi bernilai RM10 kepada 1,000 pengunjung bazar Ramadan rahmah Seksyen 19 di sini bagi menggalakkan bayaran tanpa tunai ketika urusan jual beli.


Pengarang :