Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya Mohd Fauzi Mohd Yatim berucap ketika majlis perasmian Dewan MPAJ Perwira Jaya di Kampung Perwira Jaya, Ampang Jaya pada 11 Februari 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

MPAJ lulus 100 permit jual bunga api hingga 11 April

Oleh AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 20 APRIL: Sebanyak 100 permit sementara menjual bunga api untuk musim perayaan diluluskan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) sejak 1 hingga 11 April lalu.

Yang Dipertuanya Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata kesemua permit tersebut diberikan dengan sokongan permit Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Kadar bayaran yang dikenakan untuk setiap permit adalah RM300 untuk tempoh perniagaan seminggu, RM600 (dua minggu) dan RM1,200 (sebulan).

“Hasil bayaran permit tersebut kita memperoleh pendapatan RM94,000,” katanya ketika berucap dalam Mesyuarat MPAJ di Menara MPAJ hari ini.

Menurut Mohd Fauzi, pihaknya telah mengeluarkan dua kompaun hasil pemeriksaan dalam Operasi Bunga Api pada 14 April lalu.

“Sebanyak 10 sitaan telah dibuat dalam operasi itu atas kesalahan berniaga tanpa permit dan melanggar syarat lesen,” katanya.

Dalam pada itu beliau memberitahu MPAJ juga telah mengeluarkan permit sementara untuk peniaga lemang dan daging di 22 lokasi dengan 60 petak ditawarkan.

“Sehingga 17 April lalu, sebanyak 21 permohonan telah diterima namun hanya 16 diluluskan dengan hasil kutipan permit sebanyak RM14,000,” katanya.


Pengarang :