Runtuhan cerun di Rawang Perdana 5, Rawang pada 28 April 2023. Foto Facebook Chua Wei Kiat
PBTSELANGOR

MPS bersih saluran longkang akibat runtuhan cerun di Rawang Perdana

SHAH ALAM, 30 APRIL: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) akan membersih saluran longkang di kawasan runtuhan cerun di Rawang Perdana 5 bagi mengurangkan beban tanah.

Ahli Dewan Negeri Rawang Chua Wei Kiat berkata jawatankuasa bencana daerah juga menutup jalan di kawasan berhampiran bagi mengelak risiko keselamatan penduduk.

“Pihak MPS akan cuba bersihkan saluran air longkang di situ, namun kita bimbang sekiranya pemilik tanah sekali lagi menunjukkan surat guaman.

“Ini memandangkan kawasan terbabit merupakan hak milik peribadi tetapi kita berharap pemilik dapat beri kerjasama,” katanya ketika dihubungi.

Ahli Parlimen Selayang William Leong dan ADN Rawang Chua Wei Kiat mendengar taklimat berhubung insiden cerun runtuh di Rawang Perdana 5, Rawang pada 29 April 2023. Foto Facebook Chua Wei Kiat

Beliau berkata pihaknya juga bercadang bertemu dengan pemilik tanah berkenaan yang akan diatur pejabat daerah dan tanah bagi mencari penyelesaian terhadap isu itu.

Menurut Wei Kiat, pada 2020 MPS pernah dihalang oleh pemilik tanah terbabit daripada memasang kanvas di kawasan cerun dengan mengeluarkan surat guaman.

“Pihak berkenaan menunjukkan surat guaman dan rentetan itu, kerja baik pulih cerun jadi lebih mencabar.

“Jadi saya dan Ahli Parlimen Selayang William Leong akan panggil pemilik tanah untuk berbincang supaya dapat bertanggungjawab,” katanya.

Taburan hujan tinggi kelmarin menyebabkan berlaku pergerakan tanah dan cerun runtuh di kawasan Rawang Perdana 5, Rawang.

Keadaan itu menjejaskan keselamatan kira-kira 60 keluarga di situ yang mendakwa insiden sama terjadi pada 2018 dan 2020.


Pengarang :