SHAH ALAM, 8 APRIL: Dato’ Menteri Besar mengumumkan beberapa kemudahan untuk penduduk di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Baru Hicom di sini termasuk pembinaan pagar automatik.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pembinaan pagar berkenaan menggunakan peruntukan Dato’ Menteri Besar diharap dapat menyelesaikan isu tempat letak kereta di kawasan perumahan berkenaan.
Selain itu, sebuah gelanggang futsal juga dibina untuk kemudahan penduduk.
“Bukan itu sahaja, saya telah mengarahkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyediakan perkhidmatan bas untuk digunakan anak-anak tetapi kawasan terhad.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/04/PSX_20230408_115348-500x334.jpg)
“Oleh itu, kita telah meminta beli van atau bas kecil menggunakan peruntukan pengangkutan awam yang dibentang pada belanjawan sebelum ini.
“Dengan menggunakan peruntukan sebagai menteri besar sendiri, pintu pagar automatik di kawasan perumahan ini juga akan dibina supaya dapat selesai isu parkir,” katanya.
Beliau berucap pada majlis pelancaran K2K (Kita Untuk Kita) di PPR Kampung Baru Hicom yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sebelum ini, pada April 2021 Amirudin mengadakan lawatan di PPR Kampung Baru Hicom sempena Hari K2K Selangor.
Menerusi lawatan itu, Amirudin memaklumkan Kerajaan Negeri merancang memperluas aplikasi K2K Selangor di beberapa PPR dan flat kos rendah selepas melihat impak program itu.