AGENDAJENAYAH

Pemuda parah kedua-dua tangan akibat mercun diubah suai

KUALA TERENGGANU, 10 APRIL: Seorang lelaki cedera parah di kedua-dua tangannya, dipercayai akibat terkena mercun yang telah diubah suai di Kuala Nerus, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 3.30 pagi itu, mangsa yang berusia 27 tahun turut mengalami luka di bahagian badannya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Supt Wan Mohd Zaki Wan Ismail ketika dihubungi berkata kejadian tersebut disedari abang mangsa berusia 29 tahun selepas terdengar bunyi letupan kuat berdekatan rumah yang disangka terdapat pergaduhan sebelum menghubungi polis.

“Bagaimanapun sebaik bergegas keluar dari rumah, abang mangsa mendapati adiknya mengalami kecederaan pada kedua-dua tangan. Abang mangsa tidak mengesyaki ia perbuatan jahat daripada mana-mana pihak kerana kejadian ini akibat perbuatan bermain mercun,” katanya.

Katanya, mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini untuk rawatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Wan Mohd Zaki berkata ia adalah kejadian kedua berlaku di Terengganu sejak Ramadan ini, selepas kejadian empat kanak-kanak mengalami kecederaan akibat letupan mercun yang diubah suai pada 4 April lalu.

– BERNAMA


Pengarang :