Orang ramai mengambil peluang membeli semasa program Jualan Mega Ehsan Aidilfitri 2023 di perkarangan PPR Seksyen 24, Shah Alam pada 15 April 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONALSELANGOR

Pengunjung serbu jualan murah Aidilfitri, hadir sebelum tiga jam dibuka

SHAH ALAM, 15 APRIL: Program Jualan Mega Ehsan Aidilfitri 2023 di Seksyen 24 di sini mendapat sambutan menggalakkan apabila diserbu pelanggan seawal 7 pagi tadi.

Meskipun jualan hanya bermula pada 9.45 pagi, penduduk termasuk warga emas tetap sabar menunggu supaya tidak terlepas peluang mendapatkan barangan asas dengan harga murah.

Jualan sempena Aidilfitri kendalian Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (KoHijrah) itu memperuntukkan bekalan ayam serta barangan lain kepada 200 pelanggan dengan menggunakan sistem kupon.

Walaupun kupon selesai diagih masih ada kira-kira 50 pelanggan yang setia menanti sehingga program selesai bagi memastikan mereka mendapatkan bekalan yang tidak habis dijual.

Program Kerjaaan Negeri dilaksanakan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor melibatkan semua daerah dijalankan sehingga Khamis ini dengan sembilan kawasan berlangsung hari ini, esok (10) serta Isnin hingga hari terakhir (satu).

Ia kesinambungan program Jelajah Ehsan Rakyat bagi membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan asas pada harga kurang berbanding pasaran.

Hari ini program sama turut berjalan di pekarangan Masjid As-Syakirin, Jenderan Hilir; Pasar Tani Kelana Jaya, Pasar Tani Saujana Utama dan Kompleks Penghulu Mukim Hulu Bernam dari 7 pagi hingga 12 tengah hari.

Manakala di Dataran Tonggak 10, Sungai Besar; Dataran Pantai Batu Laut, Tanjung Sepat (Kuala Langat) dan Tapak Jalan Kantan (Patron) Bukit Sentosa bermula jam 8 pagi hingga 8 malam sementara Laman Niaga Usahawan KoHijrah Shah Alam (4 hingga 6 petang).

Program jualan murah ini menyediakan bekalan ayam sebanyak 36,700 ekor pada harga RM10 seekor, 12,000 papan telur (RM10 sepapan), 9,900 kampit beras (RM10), 6,100 botol minyak masak (RM25) dan 12,100 pek daging (RM10).


Pengarang :