EXCO Pelancongan dan Alam Sekitar Hee Loy Sian ditemui pada program sambutan Hari Alam Sekitar 2022 peringkat Majlis Perbandaran Ampang Jaya di Menara MPAJ, Pandan Indah pada 3 Februari 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Permohonan geran kecil alam sekitar, teknologi hijau dibuka mulai hari ini

SHAH ALAM, 20 APRIL: Permohonan Geran Kecil Alam Sekitar (GKAS) RM10,000 dan Geran Kecil Teknologi Hijau (GKTH) RM20,000 dibuka mulai hari ini hingga 10 Mei depan.

EXCO alam sekitar dan teknologi hijau berkata keutamaan diberi kepada projek yang berpotensi menghasilkan dampak positif kepada negeri ini selain mengurangkan risiko pencemaran alam sekitar serta bandar.

Hee Loy Sian turut mengutamakan projek penghijauan dan berinovasi yang memberi impak jangka panjang terhadap pembangunan ekonomi, sosial dan alam sekitar.

“Objektif program adalah menjemput organisasi di peringkat masyarakat untuk melaksanakan inisiatif yang akan membantu Kerajaan Negeri melaksanakan agenda kelestarian alam sekitar.

“Selain itu membantu komuniti dalam organisasi dan persatuan untuk mengakses pembiayaan bagi projek inovatif agar kesedaran memelihara alam sekitar dapat dipertingkatkan dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, sejak diperkenal pada 2018, sejumlah RM916,657 diperuntuk bagi GKAS membabitkan 166 penyertaan, manakala RM1.79 juta bagi GKTH (168).

“Pelaksanaan program ini membawa kepada kesan pengurangan karbon, penjagaan alam sekitar dan kitar semula selain menjurus kepada pelbagai dimensi kemampanan.

“Ia meliputi penggunaan sumber tenaga boleh diperbaharui, eksplorasi teknologi hijau, pengurusan sisa mesra alam, pengurusan sisa elektronik isi rumah, kitar semula dan pengurangan karbon,” katanya.

Permohonan geran boleh dibuat melalui emel [email protected] atau serahan tangan di Seksyen Pihak Berkuasa Tempatan, Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor.

Pemakluman kelulusan permohonan geran kecil ini adalah selewat-lewatnya pada 22 Mei.


Pengarang :