Seorang lelaki sedang menghisap rokok elektronik atau Vape ketika tinjauan di sekitar premis sebuah pejabat di ibu kota pada 7 Ogos 2019. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PM jamin RUU kawal selia bahan merokok dibentang Mei

SHAH ALAM, 4 APRIL: Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan Rang Undang-Undang (RUU) untuk mengawal selia produk merokok termasuk bahan yang mengandungi nikotin dibentangkan bulan depan.

Menurut perdana menteri, pelaksanaan RUU tersebut tertangguh berikutan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu berunding semula secara teliti dengan ahli parlimen, lapor Berita Harian.

“(Kerajaan) bukan menolak, pada prinsipnya kita akan terus membentangkan RUU ini tetapi tidak boleh dilakukan kerana pada peringkat awal kita setuju disekalikan dengan cukai rokok elektronik.

“Oleh kerana banyak bantahan, kita cadangkan KKM berunding semula dengan ahli parlimen secara teliti dan semua badan kesihatan dengan maksud melaksanakan, bukan melengahkan. Pada tahun ini juga insya-Allah,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) berhubung tindakan kerajaan menyahsenarai produk cecair dan gel nikotin dalam alat rokok elektronik daripada Akta Racun 1952.

Anwar yang juga menteri kewangan menambah setiap wakil rakyat wajar diberi ruang untuk berbincang termasuk melalui Jawatankuasa Pilihan Khas membabitkan peruntukan yang dianggap terlalu keras.

“Bagaimanapun, di peringkat sekarang, Jabatan Kastam tetap akan mengawal pengedaran (produk merokok). RUU ini saya harap dapat dibentangkan dalam sesi akan datang pada Mei,” katanya.

Bermula 1 April, penjualan cecair untuk rokok elektronik dikenakan cukai pada kadar 40 sen setiap mililiter sementara nikotin termasuk tembakau, tampalan dan gula-gula getah, cecair dan gel nikotin dikecualikan daripada Akta Racun 1952.

 


Pengarang :