Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melawat rerurai penduduk sambil beramah mesra sempena majlis pelancaran program Kita-Untuk-Kita (K2K) di Pangsapuri PPR Kampung Baru Hicom, Shah Alam pada 8 April 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

PM: Teliti semula projek tebatan banjir demi rakyat, bukan isu politik

SHAH ALAM, 8 APRIL: Penelitian semula projek rancangan tebatan banjir (RTB) tidak membabitkan isu politik sebaliknya kepentingan kepada rakyat, kata perdana menteri.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan berjaya mengurangkan hampir RM2 bilion daripada jumlah asal projek tersebut hasil penelitian semula dilakukan.

“Projek RTB asal memperuntuk kos RM15 bilion secara rundingan terus tetapi saya batalkan semua dan mahu lakukan secara tender terhad.

“Hasilnya hampir RM2 bilion dapat diselamatkan. Ini bukan isu politik tetapi rakyat dan penjimatan tersebut kita tambah projek RTB di Johor dan Kelantan kerana kerana mereka juga mengalami masalah banjir besar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika majlis pelancaran K2K digerakkan Think City Sdn Bhd (Think City) di PPR Kampung Baru Hicom yang turut dihadiri Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Sebelum ini, enam projek tebatan banjir ditangguhkan sebentar kerana tidak mahu peruntukan untuk bantu rakyat terdapat ketirisan atau kecurian, meskipun proses tender itu disegerakan.


Pengarang :