AGENDANASIONAL

Polis tahan empat lelaki, rampas mercun bernilai lebih RM1 juta

SHAH ALAM, 4 APRIL: Polis menahan empat lelaki tempatan dan merampas 627 kotak pelbagai jenis mercun bernilai kira-kira RM1 juta dalam satu serbuan di sebuah stor di sekitar Banting semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Salleh berkata penahanan dilakukan pada pukul 6 petang semasa keempat-empat lelaki terbabit sedang memunggah kotak-kotak mercun dari sebuah lori ke dalam gudang setelah mengekori lori berkenaan yang mendapatkan bekalan di Klang.

“Dalam serbuan tersebut pihak polis telah berjaya merampas sebuah lori berserta 627 kotak pelbagai jenis mercun dengan anggaran barang rampasan bernilai RM1.67 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Ridhwan berkata hasil siasatan awal pihak polis mendapati tempat penyimpanan yang diserbu itu belum mendapat sebarang kebenaran daripada pihak berkuasa dan dipercayai telah beroperasi sejak Januari lepas.

Beliau berkata kesemua yang ditahan berumur lingkungan 19 hingga 39 tahun kini direman selama tiga hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

– BERNAMA

 


Pengarang :