Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersalaman bersama tetamu majlis rumah terbuka Aidilfitri Parlimen Shah Alam, Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga dan DUN Kota Anggerik di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam pada 29 April 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

PRN: HARAPAN, BN Selangor muktamad agihan kerusi esok

SHAH ALAM, 29 APRIL: Pakatan Harapan (HARAPAN) dan Barisan Nasional (BN) Selangor akan memuktamadkan agihan kerusi pilihan raya negeri (PRN) esok.

Pengerusi HARAPAN Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari berkata hasil rundingan itu akan dibawa kepada kepimpinan pusat dua gabungan berkenaan untuk proses seterusnya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ditemui pemberita ketika menghadiri majlis rumah terbuka Aidilfitri parlimen Shah Alam 2023 di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam pada 29 April 2023.Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Proses rundingan berjalan dengan baik, insya-Allah esok saya akan muktamadkan sebelum ia diangkat di peringkat pusat sebab kita tidak punya masa. Saya harap ia dimuktamad segera di peringkat pusat.

“Akhirnya keputusan itu wajar diputuskan di peringkat pusat, negeri hanya boleh berbincang membuat kata sepakat (agihan kerusi) kepada benda yang tidak bertentangan.

“Ada pertindihan-pertindihan (kerusi yang HARAPAN dan BN mahukan)… tetapi saya rasa pertindihan itu 20 peratus sahaja untuk diselesaikan,” katanya ditemui di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam di sini hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak pada majlis rumah terbuka Aidilfitri anjuran Parlimen Shah Alam, Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga dan DUN Kota Anggerik di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 29 April 2023.Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Bercakap pada majlis rumah terbuka Aidilfitri anjuran Parlimen Shah Alam, Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga dan DUN Kota Anggerik, Dato’ Menteri Besar menjelaskan perbincangan agihan kerusi dibuat secara telus dan terbuka.

“Perbincangan (agihan) kerusi ini tidak akan selesai sehingga hari penamaan calon, tetapi kita memang adakan perbincangan secara terbuka, telus dan jujur dalam pelbagai aspek,” katanya.

Sebelum ini, HARAPAN dan BN Selangor dilapor akan memuktamadkan rundingan pembahagian kerusi selewat-lewatnya awal bulan depan.


Pengarang :