EXCO Kampung Tradisi Bandar Borhan Aman Shah menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia (SPM) menerusi segmen Komentar@SPM di TV1 pada 13 April 2023. Foto tangkap layar program Selamat Pagi Malaysia (SPM)
EXCOSELANGOR

Pupuk amalan tradisi, program rewang Aidilfitri dianjur di tiga daerah

Oleh Diana Abd Wahab

KUALA LUMPUR, 13 APRIL: Kerajaan Negeri menganjurkan program Jom Rewang Sekampung Aidilfitri di tiga daerah tahun ini, bagi menghidupkan semula amalan tradisi dalam kalangan masyarakat.

EXCO kampung tradisi berkata acara dijadualkan berlangsung di Klang pada 30 April, Sabak Bernam (12 Mei) dan Gombak (14 Mei) itu untuk memastikan golongan muda merasai suasana gotong-royong sekampung yang diselangi pelbagai aktiviti.

“Program rewang akan dianjurkan selama dua hari satu malam yang mana masyarakat kampung berkumpul untuk memasak. Selepas itu, kita bersama-sama menikmati hidangan pada sebelah malam dalam kenduri sekampung.

“Kita mahu kekalkan tradisi ini supaya masyarakat khususnya generasi muda tahu bahawa gotong-royong masyarakat kampung wujud sekian lama untuk mengekalkan perpaduan dalam semua lapisan masyarakat,” kata Borhan Aman Shah.

Beliau berkata dalam segmen Komentar@SPM yang disiarkan secara  langsung menerusi Selamat Pagi Malaysia (SPM) Nadi Seri Pagi di TV1,  pagi tadi.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Tanjung Sepat itu berkata Jom Rewang Sekampung Aidilfitri dianjurkan selepas melihat kejayaan program Jom Rewang Sekampung tahun lalu.

“Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dijadual mencemar duli menghadiri program di Klang. Turut dijangka hadir Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi,” katanya.

Kerajaan Selangor menganjurkan program rewang sekampung di setiap daerah bagi menghidupkan kembali amalan tradisi dalam kalangan masyarakat sekali gus membentuk perpaduan yang utuh.

Tahun lalu Sabak Bernam menjadi daerah pertama penganjuran program berkenaan dengan mengadakan majlis kesyukuran bagi meraikan kejayaan 230 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia 2021.

Acara turut diadakan di beberapa daerah lain antaranya di Hulu Langat yang berkonsepkan majlis perkahwinan mengikut istiadat masyarakat Minang termasuk acara menyembelih kerbau.

Program rewang berkonsep Jawa turut diadakan di Sepang bagi membolehkan penduduk merasai pengalaman mengikut istiadat etnik itu melalui pakaian dan makanan.


Pengarang :