Orang ramai yang hadir pada Program Rumah Terbuka Jelajah Kita Selangor Aidilfitri Daerah Hulu Selangor di Padang Taman Awam, Hulu Bernam pada 29 April 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Rakyat pelbagai bangsa seronok, teruja kunjungi jelajah Aidilfitri

HULU SELANGOR, 30 APRIL: Jelajah Kita Selangor Aidilfitri di Padang Taman Awam Hulu Bernam di sini, merupakan pengalaman menarik dan sukar dilupakan buat sebuah keluarga berketurunan India.

Kakitangan swasta, B Muthuselvi, 43, berkata beliau hadir untuk melihat sendiri kemeriahan sambutan Aidilfitri selepas dimaklumkan saudaranya mengenai penganjuran majlis tersebut.

B Muthuselvi ditemui pada Program Rumah Terbuka Jelajah Kita Selangor Aidilfitri Daerah Hulu Selangor di Padang Taman Awam, Hulu Bernam pada 29 April 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

“Ini pertama kali saya datang ke rumah terbuka. Saya terkejut lihat ramai orang datang. Semua lapisan masyarakat ada di sini.

“Saya juga seronok dapat cuba pelbagai makanan. Banyak juga makanan kegemaran saya di sini dan semuanya nampak sedap,” katanya yang hadir bersama lima anaknya.

Sementara itu, usahawan, Kamarulzaman Abd Rahman, 40, berkata beliau gembira apabila melihat kemeriahan sambutan Aidilfitri diraikan kembali seperti dahulu.

Menurutnya, majlis rumah terbuka ini membantu mengeratkan semula hubungan bersama saudara serta jiran tetangga, selain berpeluang bertemu pemimpin tempatan.

Kamarulzaman Abd Rahman ditemui  pada Program Rumah Terbuka Jelajah Kita Selangor Aidilfitri Daerah Hulu Selangor di Padang Taman Awam, Hulu Bernam pada 29 April 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

“Pada pendapat saya, raya tahun ini lebih meriah kerana kita sudah hampir tiada halangan dan batasan kerana Covid-19. Saya seronok kerana dapat jumpa ramai orang seperti dahulu,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan isteri Datin Seri Masdiana Muhamad turut hadir ke Jelajah Kita Selangor Aidilfitri di Padang Taman Awam Hulu Bernam di sini malam tadi.

Jelajah Kita Selangor Aidilfitri berlangsung di sembilan daerah yang bermula di Sepang kelmarin dan di Padang Taman Sri Kerayong, Klang hari ini.

Rumah terbuka negeri juga berlangsung di Tapak Agora Night Market Taman Sri Nanding, Hulu Langat (5 Mei), tapak pasar malam Sungai Buloh, Petaling (6 Mei) dan Taman Perwira Sijangkang, Kuala Langat (7 Mei).

Program tersebut diteruskan di Dataran Tanah Lesen, Parit Baru, Sabak Bernam (12 Mei) dan padang awam Bukit Badong, Kuala Selangor (13 Mei).

Jelajah bakal berakhir di tapak Uptown Sri Gombak, Gombak pada 14 Mei yang dijadual dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Pengarang :