Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari membakar lemang ketika majlis rewang rumah terbuka Jelajah Kita Selangor Penyayang Aidilfitri Daerah Klang di Dewan Taman Sri Kerayong pada 30 April 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Rewang sekampung meriahkan tiga lokasi rumah terbuka Aidilfitri

KLANG, 30 APRIL: Tiga majlis rumah terbuka Jelajah Kita Selangor Aidilfitri bakal menyediakan juadah yang dimasak secara gotong-royong bersama penduduk setempat.

Program rewang sekampung itu melibatkan daerah Klang yang berlangsung hari ini selain Sabak Bernam dan Gombak pada 12 dan 14 Mei depan, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata tiga lokasi itu menyediakan juadah tradisi dan popular di kawasan mereka untuk dijamu kepada tetamu.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memasukkan pulut ke dalam buluh lemang ketika majlis rewang rumah terbuka Jelajah Kita Selangor Penyayang Aidilfitri Daerah Klang di Dewan Taman Sri Kerayong pada 30 April 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Macam di Klang hari ini kita sediakan menu Jawa seperti lontong (beras yang dibungkus dengan daun pisang dan direbus) selain beberapa lagi juadah antaranya lemang, ketupat, sate dan rendang.

“Menariknya tiga program ini juga dihadiri tetamu istimewa. Malam ini Sultan Selangor berkenan berangkat manakala dua lokasi lain ialah timbalan perdana menteri atau wakilnya dan perdana menteri di Gombak,” katanya.

Terdahulu Amirudin bersama isteri Datin Seri Masdiana Muhamad menyertai program rewang di Dewan Taman Seri Kerayong di Kapar.

Penduduk kampung menyertai majlis rewang rumah terbuka Jelajah Kita Selangor Penyayang Aidilfitri Daerah Klang di Dewan Taman Sri Kerayong pada 30 April 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Beliau turut menunjukkan bakat menganyam ketupat selain membantu penduduk membuat lemang dan lontong serta menyembelih seekor lembu.

Jelajah Kita Selangor Aidilfitri bermula Jumaat lalu sebelum diteruskan di Padang Taman Awam Hulu Bernam, Hulu Selangor semalam.

Turut berlangsung pada 5 Mei di Tapak Agora Night Market Taman Sri Nanding, Hulu Langat, tapak Pasar Malam Sungai Buloh, Petaling (6 Mei) dan Taman Perwira Sijangkang, Kuala Langat (7 Mei).

Seterusnya Dataran Tanah Lesen, Parit Baru, Sabak Bernam (12 Mei), Padang Awam Bukit Badong, Kuala Selangor (13 Mei) dan tapak Uptown Sri Gombak (14 Mei).


Pengarang :