Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze (tengah) melawat Surau At-Taqwa, Subang Jaya baru-baru ini. Foto Facebook Michelle Ng Mei Sze
ADNSELANGOR

RM30,000 diagih kepada surau, masjid sekitar Subang Jaya sempena Ramadan

SUBANG JAYA, 14 APRIL: Lebih RM30,000 diagihkan kepada tujuh masjid dan 23 surau sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Subang Jaya sempena Ramadan tahun ini, maklum wakil rakyatnya.

Menurut Michelle Ng Sze Mei, sumbangan menerusi program Ihya’ Ramadan itu membolehkan institusi agama berkenaan menganjurkan aktiviti pengimarahan sepanjang bulan puasa.

“Sumbangan diagih minggu lepas. Setiap masjid terima RM2,000 manakala surau mendapat RM1,000,” katanya selepas meninjau pembinaan laluan konkrit di taman permainan SS 19 di sini hari ini.

Dalam pada itu, Michelle menambah sebanyak RM300,000 disumbangkan ke masjid dan surau dalam DUN tersebut sejak 2018 bagi pembaikan kemudahan seperti mengganti bumbung dan pembelian permaidani.

Tahun ini, Kerajaan Negeri menerusi Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI memperuntuk hampir RM3 juta bagi menjayakan program Ihya’ Ramadan.

Ia meliputi sumbangan kepada masjid dan surau selain diagih kepada asnaf dan penganjuran program berbuka puasa bersama penduduk.


Pengarang :