Sebahagian pempengaruh Tik Tok dan media melawat mini zoo pada Program lawatan dan Iftar Ramadan bersama Content Creator TikTok dan Media di Selangor Fruit Valley, Kuala Selangor pada 15 April 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Selangor Fruit Valley sasar 30,000 pengunjung sebulan, tawar aktiviti sukan lasak

Oleh DIANA ABD WAHAB

KUALA SELANGOR, 16 APRIL: Selangor Fruit Valley (SFV) menyasarkan peningkatan 30,000 pengunjung sebulan menerusi pelbagai tarikan baharu yang disediakan di pusat agro pelancongan itu menjelang September ini.

Pengurus Besar Sektor Pengeluaran Komoditi dan Makananan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) berkata antara aktiviti disediakan termasuklah sukan lasak seperti ‘all-terrain vehicle’ (ATV), luncur keluang (flying fox) dan perkhemahan.

Pengurus Besar Sektor Pengeluaran Komoditi dan Makananan PKPS Pongot Sajab berucap pada program lawatan dan Iftar Ramadan bersama pempengaruh TikTok dan media di Selangor Fruit Valley, Kuala Selangor pada 15 April 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

“Kita tawarkan pelbagai tarikan baharu yang lebih hebat seperti ATV, luncur keluang dan perkhemahan dalam usaha tarik lebih ramai pengunjung datang ke SFV.

“Ia sedang dilaksanakan dan dijangka siap sepenuhnya September depan dan kita jangka mampu tarik 30,000 kehadiran pengunjung sebulan,” kata Pongot Sajab.

Sebahagian pempengaruh TikTok dan pengamal media melawat sekitar kawasan Selangor Fruit Valley, Kuala Selangor ketika program lawatan dan Iftar Ramadan anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) pada 15 April 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Terdahulu beliau menghadiri program lawatan dan majlis berbuka puasa bersama pempengaruh TikTok dan pengamal media di SFV semalam.

Pongot yakin sasaran itu mampu dicapai dengan SFV meraih manfaat besar menerusi permuafakatan bersama pempengaruh TikTok dan pihak media yang membuat liputan dan memuat naik kandungan mengenai SFV di media sosial.

Dalam perkembangan lain beliau berkata pusat agro pelancongan itu mencatat 30,000 jumlah pengunjung setakat Mac lalu.

“Sambutan amat menggalakkan terutama pada hujung minggu di mana jumlah pengunjung mencecah 2,000 orang sehari,” katanya.

Sebahagian pempengaruh TikTok dan media dibawa menaiki trem melawat sekitar kawasan Selangor Fruit Valley pada Program lawatan dan Iftar Ramadan bersama Content Creator TikTok dan Media di Selangor Fruit Valley, Kuala Selangor pada 15 April 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

SFV adalah ladang buah-buahan tropika berkeluasan lebih 1,000 hektar yang mula dibuka pada 2007a sebelum dimajukan sebagai lokasi agro pelancongan pada 2017 bagi memodenkan sektor pertanian selaras wawasan PKPS.

Ladang ini mengeluarkan pelbagai hasil tanaman pilihan seperti belimbing, jambu batu, rambutan, pulasan dan betik, selain sayur-sayuran.

Pelbagai aktiviti menarik turut ditawarkan seperti menaiki trem mengelilingi ladang, memetik buah, bermain dengan arnab, memberi rusa makan dan membuat telur masin.


Pengarang :