SEPANG, 7 APRIL: Kerajaan Selangor yakin mampu meningkatkan sumbangan untuk Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia kepada 30 peratus bagi tempoh 2025 hingga 2026.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ini akan didorong oleh projek seperti Pembangunan Serantau Bersepadu Selatan Selangor (IDRISS) serta Taman Perindustrian Pintar NCT (NCT).
“Berasaskan suntikan projek seperti NCT dan IDRISS, kami yakin kami dapat merangsang lebih banyak aktiviti ekonomi,” katanya kepada pemberita selepas majlis pecah tanah Taman Perindustrian Pintar NCT Group of Companies di sini, pada Jumaat.
Beliau berkata inisiatif utama sedemikian akan melonjakkan pertumbuhan ekonomi negeri dan seterusnya meningkatkan sumbangan negeri kepada KDNK negara, yang mencecah 24.8 peratus pada 2021.
Walaupun ketiadaan projek utama, sumbangan Selangor kepada KDNK Malaysia telah meningkat 0.2 peratus hingga 0.5 peratus setahun sejak 2018, katanya.
– BERNAMA