Foto Facebook Majlis Perbandaran Sepang
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Siti Nordiana meriahkan rumah terbuka negeri di Sepang pada Jumaat

SHAH ALAM, 26 APRIL: Penyanyi tersohor tanah air, Siti Nordiana akan memeriahkan program rumah terbuka Aidilfitri anjuran Kerajaan Negeri di Sepang pada Jumaat ini.

Majlis Perbandaran Sepang menerusi Facebook memaklumkan program Jelajah Kita Selangor Aidilfitri itu berlangsung mulai jam 8 hingga 11 malam di tapak pasar pagi Pekan Salak.

“Orang ramai dijemput hadir memeriahkan majlis rumah terbuka ini dan anda digalakkan membawa tikar sendiri bagi menyaksikan persembahan sambil menjamu juadah raya yang disediakan,” kata pihak berkuasa tempatan itu.

Program selama tiga jam itu turut diserikan dengan acara sumbangan duit raya dan persembahan seni.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari juga dijadual menyampaikan ucapan dan beramah mesra dengan pengunjung.

Jelajah Kita Selangor Aidilfitri dijadualkan berlangsung di sembilan daerah bermula Jumaat ini di tapak pasar pagi Pekan Salak, Sepang, diikuti padang awam Hulu Bernam, Hulu Selangor (29 April) dan Padang Taman Sri Kerayong, Klang (30 April).

Program tersebut juga berlangsung di Tapak Agora Night Market Taman Sri Nanding, Hulu Langat (5 Mei), tapak pasar malam Sungai Buloh, Petaling (6 Mei) dan Taman Perwira Sijangkang, Kuala Langat (7 Mei).

Rumah terbuka negeri diteruskan di Dataran Tanah Lesen, Parit Baru, Sabak Bernam (12 Mei) dan padang awam Bukit Badong, Kuala Selangor (13 Mei).

Jelajah ke sembilan daerah bakal berakhir di tapak Uptown Sri Gombak, Gombak pada 14 Mei yang dijadual dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Pengarang :