Kejadian tanah runtuh di hadapan Akademi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Kuala Lumpur pada 25 April 2023. Foto Facebook BALAI BOMBA SENTUL
AGENDANASIONAL

SPRM: Tanah runtuh di akademi, 45 individu dipindah ke kawasan selamat

KUALA LUMPUR, 25 APRIL: Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) telah mengosongkan seluruh kawasan akademi itu dengan memindahkan seramai 45 individu susulan kejadian tanah runtuh di pintu masuk utamanya pada kira-kira 1.30 tengah hari tadi.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan malam ini memaklumkan individu terbabit yang terdiri daripada 22 pegawai, 16 pekerja pembersihan dan tujuh penghuni kuarters termasuk keluarga pegawai telah selamat dipindahkan dari bangunan MACA ke kawasan selamat.

“Pengosongan tersebut adalah atas nasihat pihak bomba dan akan berlarutan sehingga kawasan terlibat diisytiharkan selamat dan ketika ini, pihak MACA turut bersedia dengan arahan lanjut pihak berkuasa serta akan membuat pemakluman dari semasa ke semasa.

“Sehubungan itu, pihak MACA memohon orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi dan memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kejadian tanah runtuh tersebut,” menurut kenyataan itu.

Ketika kejadian, seramai 76 orang terdiri daripada 36 lelaki dan 40 wanita yang merupakan petugas pentadbiran MACA dan Institut Integriti Malaysia, yang terletak bersebelahan akademi itu berdepan detik cemas selepas berlaku runtuhan tanah di kawasan tersebut namun mereka tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kejadian itu melibatkan kawasan di depan pintu akademi milik SPRM dan meruntuhkan sebuah pondok kawalan dengan keluasan tanah runtuh dianggarkan 30.48 x 36.57 meter persegi.

– BERNAMA


Pengarang :