SPRM Digesa Siasat Semua Pihak Berhubung Dakwaan Rasuah Bala

SHAH ALAM, 11 NOV : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa supaya menjalankan siasatan terperinci ke atas beberapa individu yang pernah dikemukakan oleh penyiasat persendirian, P Balasubramaniam(Bala) berhubung pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Naib Presiden PKR, Tian Chua ketika dihubungi berkata, SPRM sepatutnya bersikap lebih telus dan bukannya membuat maklumbalas secara terburu-buru terhadap tuntutan Bala.

Malah katanya, tindakan SPRM itu disifatkan sebagai cuba menyembunyikan ‘sesuatu’.

“SPRM kalau betul-betul telus, mereka pasti akan panggil Bala untuk beri keterangan semasa perbicaraan. Kalau SPRM hendak sahkan sama ada bukti cukup atau tidak, semua orang perlu disiasat. Tetapi malangnya, semua nama yang Bala sebut tidak pernah disiasat,” katanya.

Memetik laporan Malaysia Kini, SRPM dalam jawapan mereka kepada peguam Bala, Americk Sidhu pada 8 November mengatakan terdapat kekurangan bukti untuk mendakwa mana-mana pihak berdasarkan keputusan oleh Timbalan Pendakwa Raya (DPP).

SPRM dalam jawapannya berkata mereka telah ‘menjalankan satu penyiasatan yang menyeluruh’ dan mengemukakan hasilnya kepada DPP untuk ‘penelitian dan nasihat’.

Menurut SPRM, timbalan pendakwa raya meneliti keseluruhan bukti tetapi mendapati terdapat kekurangan bukti untuk mendakwa mana-mana individu atas apa-apa kesalahan jenayah.

Dalam jawapan tiga perenggan, SPRM berkata mereka bersetuju dengan kesimpulan timbalan pendakwa raya itu, dan ia dibentangkan kepada panel kajian operasi SPRM pada 8 November 2012, yang turut bersetuju dengannya.


Pengarang :