Setiauasaha Politik Dato’ Menteri Besar, Juwairiya Zulkifli bergambar bersama tetamu jemputan sempena Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Yayasan Hijrah Selangor di Kompleks Generasi Muda dan Sukan Selangor, Seksyen 7, Shah Alam pada 17 Mei 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

100 usahawan Hijrah sertai padanan produk di pasar raya terkemuka

SHAH ALAM, 17 MEI: Yayasan Hijrah Selangor menerima hampir 100 penyertaan daripada usahawan yang ingin menyertai Hari Aspirasi Usahawan Hijrah Selangor 2023.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Normaiza Yahya berkata program tersebut menyediakan sesi padanan produk dengan pasar raya terkemuka tempatan dan antarabangsa.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Hijrah Selangor Normaiza Yahya

“Program ini melibatkan usahawan yang ingin memajukan dan mengembangkan lagi perniagaan mereka ke peringkat seterusnya.

“Dalam program itu, wakil pasar raya akan dijemput sebagai pengadil untuk mendengar mengenai kelebihan produk yang mahu diketengahkan usahawan,” katanya.

Beliau ditemui pada Majlis Rumah Terbuka dan Khatam al-Quran Yayasan Hijrah di Kompleks Generasi Muda dan Sukan di Seksyen 7 di sini hari ini.

Normaiza menjelaskan usahawan yang terpilih berpeluang memasarkan produk mereka di gedung terbabit.

Tetamu mengambil juadah sempena Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Yayasan Hijrah Selangor di Kompleks Generasi Muda dan Sukan Selangor, Seksyen 7, Shah Alam pada 17 Mei 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Menurutnya, peluang menembusi pasaran di pasar raya terkemuka disifatkan sebagai perkara yang tidak mudah.

“Yayasan Hijrah sentiasa mahu membantu usahawan memajukan perniagaan selain kekal berdaya saing di peringkat tempatan mahu pun global,” katanya.

Hari Aspirasi Usahawan Hijrah Selangor 2023 dijangka berlangsung dalam tempoh terdekat dan maklumat lanjut akan diumumkan agensi itu menerusi saluran rasmi serta media sosial.


Pengarang :