Gelagat seorang peserta yang memakai topeng muka adiwira “Ant-Man” dan baju melayu ketika majlis pelepasan larian Bukit Melawati LebaRun 2023 di Dataran Malawati, Kuala Selangor pada 6 Mei 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

1,300 sertai Bukit Melawati Lebarun, promosi pelancongan Kuala Selangor

KUALA SELANGOR, 6 MEI: Berbaju Melayu, bersampin serta memakai topeng watak adiwira antara gelagat unik peserta Bukit Melawati Lebarun 2023 hari ini.

Mereka antara 1,300 peserta yang menyertai program Bukit Melawati Lebarun 2023 sempena Aidilfitri anjuran Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati.

Wakil rakyatnya Juwairiya Zulkifli berkata program itu antara lain bertujuan mempromosikan tarikan pelancongan kawasan sekitar.

ADN Bukit Malawati, Juwairiya Zulkifli melepaskan peserta larian 10 Kilometer ketika majlis pelepasan larian Bukit Melawati LebaRun 2023 di Dataran Malawati, Kuala Selangor pada 6 Mei 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Salah satu objektif kita adalah untuk menggalakkan pelancongan di daerah Kuala Selangor khususnya di bawah DUN Bukit Melawati kerana di sini terdapat banyak ‘hot spot’ pelancongan.

“Dalam laluan larian sejauh lima dan 10 kilometer itu peserta memang akan melalui tempat tarikan pelancongan malah perlu lalu dan naik ke Bukit Malawati yang mana di situ ada Taman Alam Kuala Selangor dan rumah api selain tapak pelepasan di Dataran Malawati,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis pelepasan peserta Bukit Melawati Lebarun 2023 yang disempurnakan Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim di Dataran Malawati di sini, hari ini.

Juwairiya berkata program yang turut mendapat penyertaan peserta dari luar negara itu diharap dapat memberi impak positif kepada pelancongan di Kuala Selangor.

Peserta menghabiskan pusingan akhir ketika larian Bukit Melawati LebaRun 2023 di Dataran Malawati, Kuala Selangor pada 6 Mei 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Kita dapat penyertaan daripada peserta Singapura dan Kenya, malah dari negeri lain seperti Johor juga ada, diharap ia dapat membuka mata mereka mengenai kelebihan Kuala Selangor dan hadir sebagai pelancong di masa akan datang,” katanya.

Sementara itu Adam Adli berkata Kementerian Belia dan Sukan sentiasa menyokong usaha program sebegini kerana selain menggalakkan amalan gaya hidup sihat ia juga memberi pendidikan mengenai tarikan di kawasan setempat.


Pengarang :