Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi K Saraswathy bergambar bersama pemenang Anugerah Peniaga E-Dagang Utama Malaysia (Top ECM) 2023 di Hotel Hilton Kuala Lumpur pada 27 Mei 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

602 sertai anugerah peniaga e-dagang tahun ini, naik 36.8 peratus

KUALA LUMPUR, 27 MEI: Perbadanan Teknologi Maklumat Ekonomi Digital Selangor (Sidec) menerima 602 penyertaan bagi Anugerah Peniaga e-Dagang Utama Malaysia (Top ECM) tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Yong Kai Ping berkata anugerah edisi kelapan yang memberi pengiktirafan kepada peniaga dalam talian meningkat 36.8 peratus berbanding tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Teknologi Maklumat Ekonomi Digital Selangor (Sidec) Yong Kai Ping

“Daripada jumlah itu 360 syarikat disenarai pendek dalam tiga kategori iaitu anugerah Top ECM, anugerah peniaga e-dagang Selangor dan anugerah istimewa Affin Bank.

“Peserta dinilai berdasarkan tiga kriteria iaitu jualan dalam talian (50 peratus), jualan siaran langsung (25 peratus) dan potensi perniagaan oleh juri yang pakar dalam industri,” katanya pada majlis Anugerah Top ECM 2023 di sini hari ini.

Pada majlis itu, penyedia perkhidmatan tiket bas dalam talian, Etransact Technology Sdn Bhd dinobat sebagai juara yang menerima hadiah wang tunai RM10,000, piala dan sijil penyertaan.

Eksekutif Pemasaran Etransact Technology Sdn Bhd, Fadhli Wahab

Tempat kedua dimenangi Caring E-Store Sdn Bhd dan JSK Global Sdn Bhd (ketiga) dengan masing-masing menerima wang tunai RM8,000 dan RM5,000 berserta trofi serta sijil.

Majlis penyampaian anugerah disempurnakan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi K Saraswathy. Turut hadir EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han.

Sementara itu Eksekutif Pemasaran Etransact Technology, Fadhli Wahab berkata anugerah berkenaan pemangkin semangat peniaga e-dagang terutama syarikat pemula untuk terus meneroka bidang berpotensi itu.

“Sidec menyediakan platform terbaik dan membuka ruang dan peluang kepada peniaga serta syarikat pemula yang bergiat dalam bidang e-dagang untuk berkembang lebih luas ke peringkat lebih tinggi,” katanya.


Pengarang :