948 penghuni rumah kebajikan Yide bakal sertai kursus kemahiran di Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC). Foto Facebook Amirudin Shari
AGENDANASIONAL

948 penghuni rumah kebajikan Yide bakal sertai kursus kemahiran STDC

SHAH ALAM, 6 MEI: Seramai 948 anak yatim di 25 rumah kebajikan milik Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) bakal mengikuti program latihan dan kemahiran di Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC).

Dato’ Menteri Besar berkata ketika ini seramai 30 anak yatim seliaan agensi sama mendapat tajaan bagi meningkatkan kemahiran masing-masing dalam pelbagai bidang.

“Ini merupakan langkah permulaan Kerajaan Negeri untuk anak-anak ini (anak yatim) belajar kemahiran di STDC dalam bidang elektrik, automatif, penghawa dingin dan sebagainya.

“Permulaan ini penting supaya mereka mempunyai kemahiran khusus yang mampu meningkatkan kebolehpasaran bekerja. Moga usaha ini membawa manfaat buat masa depan anak-anak ini,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari di Facebook.

Pada Mac Yide dan STDC menandatangani memorandum persefahaman (MoU) pelan pembangunan modal insan bagi menjamin kehidupan dan masa depan anak yatim selepas tidak lagi mendiami pusat kebajikan.

MoU berkenaan melibatkan 30 bekas penghuni umah kebajikan berusia 18 tahun ke atas yang memulakan pengajian kursus kemahiran bidang elektrik, motosikal, penyamanan udara, automotif dan sistem komputer.

Kos pembelajaran dan kediaman asrama semua pelajar dibiayai Ikhtisas Smart Selangor (Iktisass) selain mereka diberi wang sara diri RM300 sebulan sepanjang tempoh pengajian.


Pengarang :