Antara aktiviti menarik sempena Hari Tanpa Kenderaan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) @ Selamat Pagi Subang Jaya pada 7 Mei 2023. Foto Majlis Bandaraya Subang Jaya
PBTSELANGOR

Acara senamrobik meriahkan program hari tanpa kenderaan MBSJ

SHAH ALAM, 7 MEI: Pelbagai aktiviti menarik dianjurkan sempena Hari Tanpa Kenderaan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) @ Selamat Pagi Subang Jaya berhadapan pasar raya Aeon Big Subang Jaya hari ini.

Bahagian komunikasi korporat Jabatan Korporat Dan Pengurusan Strategiknya memaklumkan antaranya termasuk aktiviti kayuhan, larian, jalan santai dan senamrobik.

“Selain itu turut diadakan pesta sarapan pagi, memanah, pemeriksaan kesihatan percuma, program kitar semula dan cabutan bertuah.

“Penganjuran program ini merupakan komitmen berterusan MBSJ untuk pengurangan penggunaan kenderaan selain mengawal pencemaran udara di bandar.

“Ia sekali gus mengajak warga Subang Jaya untuk bersama-sama melakukan aktiviti santai bersama keluarga berkonsepkan gaya hidup sihat iaitu sukan dan riadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut MBSJ, program berkenaan merupakan usaha untuk merealisasikan Matlamat Pembangunan Mampan.

“MBSJ mengalu-alukan kehadiran seluruh komuniti Subang Jaya yang bersama-sama memeriahkan program sekali gus menyokong Pelan Tindakan Bandar Hijau MBSJ,” katanya.


Pengarang :