Empangan Semenyih. Foto Facebook Air Selangor
EXCOSELANGOR

Bekalan air bertahan tujuh bulan, laksana langkah tambahan tingkat sumber takungan air

Oleh SHAMZ JOHAN

SEPANG, 20 MEI: Bekalan air di Selangor mampu bertahan sehingga tujuh bulan jika tiada hujan dan terjadi kemarau panjang, kata EXCO Alam Sekitar.

Hee Loy Sian berkata ketika ini status empangan di negeri itu dalam keadaan memuaskan dan mencapai paras air 100 peratus.

“Status empangan di Selangor memuaskan, malah ada yang melimpah (overflow). Kebanyakannya mencapai tahap paras air 100 peratus.

EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian pada majlis pelancaran dan uji cuba bas pelancongan Selangor hop on hop off di IOI City Mall, Putrajaya pada 20 Mei 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

“Hanya tiga tidak mencapai 100 peratus iaitu Empangan Sungai Langat (92 peratus), Empangan Klang Gates (98 peratus) dan Kolam Off River Storage (ORS) Labu di Sepang, 95 peratus,” katanya.

Beliau ditemui pada majlis pelancaran dan uji cuba bas pelancongan hop-on hop-off (Hoho) di IOI City Mall, Putrajaya di sini hari ini.

Mengulas lanjut Loy Sian berkata selain tujuh empangan sedia ada, Selangor turut mempunyai 198 tasik yang boleh dijadikan sumber bekalan air yang mampu bertahan sehingga dua bulan.

“Keseluruhan bekalan air (Selangor) boleh bertahan sehingga tujuh bulan, jika tak hujan langsung atau jika kita hadapi musim kemarau teruk,” katanya.

Menurutnya sejak krisis air berlaku pada 2014, pelbagai usaha dilakukan antaranya meningkatkan kecekapan infrastruktur dengan mengubah tasik terbiar menjadi kolam takungan air untuk disalurkan ke loji rawatan.

Selain itu katanya pihaknya juga maklum cuaca jerebu yang akan berlaku dan penguatkuasaan dipergiat untuk mencegah aktiviti pembakaran terbuka dengan mengeluarkan saman atau mendakwa mereka terlibat di mahkamah.


Pengarang :