Bekas Mufti Besar Mesir, Syeikh Dr Ali Jum’ah menyampaikan syarahan ketika Festival Turath Islami Selangor yang turut dihadiri Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 20 Mei 2023 . Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Festival angkat peradaban Islam, kupas pemikiran ilmuwan

SHAH ALAM, 20 MEI: Perkongsian ilmu menerusi Festival Turath Islami Selangor diharap menyemarak lagi minat peserta terhadap pemikiran ilmuwan agung sekali gus mengangkat peradaban Islam.

Dato’ Menteri Besar berkata dengan pengetahuan luas dalam terjemah dan mentafsir permasalahan, umat Islam tidak mudah dilabel sebagai pengganas atau kolot.

“Dengan ilmu yang betul dan didikan daripada ulama dan kitab-kitab yang ada tetapi kita tinggalkan sebelum ini, saya percaya kena mengembalikan sinar, kejayaan dan kehebatan Islam.

“Ia bukan ditonjolkan dengan ngauman suara dan deruan kehadiran yang ramai tetapi dengan ilmu pengetahuan yang mampu membawa ketamadunan dan peradaban,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berucap pada Daurah Afkar Ihya Ulumuddin karya Imam al-Ghazali di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini hari ini.

Bekas Mufti Besar Mesir, Syeikh Dr Ali Jum’ah menyampaikan syarahan ketika Festival Turath Islami Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 20 Mei 2023 . Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Tambah Amirudin, pihaknya juga menitikberatkan kewujudan adab dan akhlak dalam pendekatan Malaysia Madani yang dibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Ketika saya diminta untuk menjelaskan dan membawa pandangan yang dibawa perdana menteri, saya titik beratkan aspek keinsanan dan kemanusiaan dengan mewujudkan adab serta akhlak.

“Kita mungkin boleh bertindak baik kalau ada polis tetapi untuk sampai kepada akhlak pada nilai halaqa (tertanam pada hati dan sanubari), tetapi harus ditanam dengan ilmu yang mempunyai sifat rendah diri serta memahami adab dengan Allah, alam, manusia dan kehidupan,” katanya.

Terdahulu, lebih 1,000 peserta termasuk dari Indonesia menyertai majlis Daurah Afkar Ihya Ulumuddin karya Imam al-Ghazali sempena Festival Turath Islami Selangor

Kupasan karya Ihya’ Ulumuddin itu dipimpin bekas Mufti Besar Mesir, Syeikh Dr Ali Jum’ah dan diterjemah Ustaz Noorazam Bahador.

Festival kali pertama dianjurkan dalam bahasa Melayu merangkumi lapan acara termasuk Daurah Afkar Ihya Ulumuddin, seminar penghayatan Ihya Ulumuddin dan interaksi bersama pemegang taruh seperti pimpinan pendidikan.

Festival bermula 20 hingga 25 Mei itu dipancar secara langsung di Facebook Media Selangor dan YouTube SelangorTV.

Bekas Mufti Besar Mesir, Syeikh Dr Ali Jum’ah menyampaikan syarahan ketika Festival Turath Islami Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 20 Mei 2023 . Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pengarang :