Pegawai Khas kepada Ahli Parlimen Kuala Selangor Abbas Azmi (dua dari kiri) bersama jawatankuasa penduduk fasa 2 Puncak Alam ketika meninjau program jualan murah peringkat DUN Jeram pada 8 Mei 2023. Foto SOFIA NASIR/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Beri manfaat ramai, jualan murah negeri wajar diteruskan

KUALA SELANGOR, 8 MEI: Jelajah Ehsan Rakyat (JER) yang memberi manfaat kepada rakyat negeri ini diyakini akan diteruskan selagi harga barangan masih belum stabil.

Pegawai Khas kepada Ahli Parlimen Kuala Selangor Abbas Azmi berkata inisiatif yang dilaksanakan sejak tahun lepas sangat membantu golongan kurang berkemampuan, malah orang ramai yang ditemui berharap ia dianjur berterusan.

“Setiap kali JER dianjurkan, barangan yang dijual sangat laris. Ia membuktikan program ini benar-benar memberi manfaat kepada rakyat dan wajar diteruskan.

“Namun sama ada JER diteruskan bergantung keputusan pilihan raya negeri (PRN). Rakyat perlu memberikan mandat kepada pentadbiran Kerajaan Negeri sekarang supaya program ini diteruskan,” katanya kepada Selangorkini.

Beliau berkata demikian ketika meninjau program JER peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram di Fasa 2 Puncak Alam di sini, hari ini.

Abbas berkata beliau tidak menyangka program julung kali di lokasi tersebut mendapat sambutan amat menggalakkan daripada penduduk.

“Ini merupakan program jualan murah ketujuh di DUN Jeram sejak awal tahun ini. Tidak sangka pula ramai penduduk Puncak Alam hadir hari ini. Insya-Allah kita akan bawa lagi program JER ke sini untuk bantu rakyat,” katanya.

Penduduk membeli barangan keperluan asas yang dijual pada harga murah di Jelajah Ehsan Rakyat (JER) peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram di Fasa 2 Puncak Alam pada 8 Mei 2023. Foto SOFIA NASIR/SELANGORKINI

JER anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal beku (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Inisiatif tersebut memanfaatkan lebih dua juta penduduk Selangor sepanjang tiga bulan pelaksanaan dari September hingga Disember tahun lepas.

Susulan sambutan menggalakkan, Kerajaan Negeri memperluaskan jualan barangan asas murah ke 1,200 lokasi mulai 16 Januari lepas.

Selain itu, pada minggu terakhir Ramadan, PKPS dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Selangor dan Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (KoHijrah) turut menganjurkan jualan mega Aidilfitri di 23 lokasi bagi meringankan beban orang ramai menyambut perayaan.

Orang ramai boleh melayari pautan linktr.ee/myPKPS untuk kemas kini lokasi jualan dari semasa ke semasa.


Pengarang :