Pengusaha hasil laut, Muhammad Aimy Shahril Mat Ali, 22, menjemur ikan bilis semasa tinjauan di Kampung Hujung Tanjung, Seberang Takir, hari ini. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Cuaca panas: Biasa jemur ikan bilis dua hari, kini hanya enam jam

KUALA NERUS, 8 MEI: Fenomena cuaca panas pada masa ini sememangnya memberi impak kurang menyenangkan, namun hikmah tersembunyi dirasai segelintir individu yang bergantung kepada cuaca panas dalam mencari rezeki.

Seorang pengusaha ikan bilis kering dan belacan, Muhammad Aimy Shahril, 22, dari Kampung Hujung Tanjung dekat sini berkata cuaca panas memberi peluang kepadanya untuk menggandakan pengeluaran produknya kerana ia mampu dihasilkan dalam tempoh lebih singkat.

“Cuaca panas membantu mempercepat proses pengeringan produk hasil laut seperti belacan dan ikan bilis kering, yang biasanya mengambil masa sehingga dua hari untuk benar-benar kering.

“Bagi kami, musim panas umpama satu rahmat kerana produk dapat dikeluarkan dengan lebih banyak berbanding hari biasa. Dengan cuaca panas seperti sekarang, lima atau enam jam sudah cukup untuk ikan bilis dan belacan betul-betul kering,” katanya.

Muhammad Aimy yang mewarisi perusahaan itu daripada arwah bapanya, Mat Ali Sulong yang memulakan perusahaan itu sejak 30 tahun lepas ditemui Bernama di bengkelnya di Kampung Hujung Tanjung, Seberang Takir dekat sini hari ini.

Menurut Muhammad Aimy walaupun terdapat kaedah lain untuk mempercepat proses pengeringan seperti menggunakan mesin pengering, teknik jemuran di bawah cahaya matahari jauh lebih baik kerana produk mampu bertahan lebih lama.

Katanya kebiasaannya setiap bulan dia mampu memproses kira-kira dua tan ikan bilis yang diedarkan untuk pasaran dalam Terengganu dan dijual pada harga bermula RM28 sekilogram.

“Pengeluaran bergantung kepada hasil tangkapan ikan bilis. Sebagai contoh musim sekarang memang banyak ikan bilis di perairan Kuala Terengganu dan boleh mencecah lebih 100 kilogram sehari.

“Untuk belacan pula, setiap hari kami mampu keluarkan sehingga 200 keping sehari dan itu pun masih tidak cukup untuk menampung pasaran dalam negeri,” katanya.

Muhammad Aimy berkata musim panas yang dijangka berpanjangan sehingga Ogos juga membolehkannya memproses lebih banyak hasil laut untuk disimpan sebagai stok jualan pada musim tengkujuh.

-BERNAMA

 


Pengarang :