Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat (kiri) pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian pada 7 Mei 2023. Foto Facebook Polis Johor
AGENDAJENAYAH

Dadah bernilai RM3.43 juta dirampas, lima lelaki ditahan

PONTIAN, 7 MEI: Polis menahan lima lelaki dan merampas dua jenis dadah bernilai RM3.43 juta dalam dua serbuan berasingan di sekitar daerah Pontian dan Tangkak, Khamis lalu.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata mereka termasuk seorang warga asing berusia antara 23 hingga 53 tahun itu ditahan antara 8.45 hingga 10 malam.

Beliau berkata pihaknya merampas 64.89 kilogram syabu bernilai lebih RM2.14 juta dan 58,626 biji pil ekstasi bernilai RM1.29 juta, yang boleh digunakan 382,896 penagih.

“Modus operandi sindiket pengedaran dadah ini adalah dengan menjadikan inap desa (homestay) sebagai transit pengedaran dadah ke negara jiran melalui jalan laut oleh tekong.

“Selain itu, kegiatan pengedaran dadah ini dipercayai aktif beroperasi sejak Januari lalu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian, hari ini.

Kamarul Zaman berkata pihaknya turut menyita empat kereta, sebuah motosikal, dua bot fiber berserta enjin, wang tunai RM1,790 dan 21 dolar mata wang Singapura.

“Kesemua lelaki terbabit direman tujuh hari bermula Jumaat lalu dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Beliau berkata sejak 1 Januari hingga Khamis lalu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Johor menahan 5,886 individu atas pelbagai kesalahan dadah dan merampas satu tan dadah bernilai RM14.19 juta serta menyita harta bernilai RM5.1 juta.

– BERNAMA


Pengarang :