Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PKNS (Pembangunan Hartanah) Ir Md Kamarzan Md Rais merasmikan Projek Puteri Ariana sempena Discover PKNS 2023 di Kota Puteri, Kuala Selangor pada 7 Mei 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

PKNS sasar 72 unit rumah Puteri Ariana 1 dijual dalam tempoh sebulan

Oleh AZIAN AZIZ

RAWANG, 7 MEI: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menyasarkan jualan 72 unit rumah teres dua tingkat Puteri Ariana Fasa 1 di Seksyen 8, Kota Puteri di sini dalam tempoh sebulan.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PKNS (Pembangunan Hartanah) Ir Md Kamarzan Md Rais berkata rumah dengan empat bilik tidur, tiga bilik air dan anjung kereta yang luas itu dijual pada harga dari RM590,000 hingga RM762,000.

“Projek perumahan yang dibina dengan reka bentuk kontemporari moden tropika itu dibina di atas tanah seluas 6.46 ekar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM48.14 juta.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PKNS (Pembagunan Hartanah) Ir Md Kamarazaman Md Rais (dua, kanan) melihat replika rumah contoh selepas merasmikan Projek Puteri Ariana sempena Discover PKNS 2023 di Kota Puteri, Kuala Selangor pada 7 Mei 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Sebanyak 24 rumah dibina dengan saiz 20’x70’ dan 48 lagi (22’ x75’) dan enam pilihan keluasan iaitu antara 1,979.07 kaki persegi (kps) hingga 2,258.09 kps,” katanya ditemui selepas melancarkan projek pembangunan Puteri Ariana Fasa 1 dan Galeri Jualan Kota Puteri hari ini.

Pelancaran itu dilakukan sempena bermulanya kempen Discover PKNS 2023 di Kota Puteri hari ini.

Md Kamarzaman berkata projek Puteri Ariana Fasa 1 ini dibina dekat dengan pelbagai kemudahan awam seperti Universiti Selangor, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Hospital UiTM, sekolah, pusat komersial, taman permainan dan kawasan rekreasi serta berhubung dengan jaringan lebuh raya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (Latar) serta Koridor Guthrie dan Damansara Shah Alam (Dash).

Rumah contoh Projek Puteri Ariana yang baru dilancarkan sempena Discover PKNS 2023 di Kota Puteri, Kuala Selangor pada 7 Mei 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Puteri Ariana 1 ini dijangka siap sepenuhnya pada 2025.

“Kita juga akan melancarkan Puteri Ariana 2 dan 3 pada hujung tahun ini yang menawarkan saiz besar sedikit,” katanya sambil memberitahu setakat semalam sebanyak 10 peratus rumah Puteri Ariana sudah ditempah.

Untuk informasi lanjut boleh kunjungi pautan www.pknsputeriariana.com atau hubungi talian 03-5022 0188 atau WhatsApp di nombor 010-928 0187.


Pengarang :