Pengunjung membeli juadah Tepung Pelita Istimewa Paya Jaras di Bazar Ramadan Saujana Utama ketika tinjauan pada 4 April 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Dua dekad cipta nama, tepung pelita Paya Jaras jadi buruan ramai

SHAH ALAM, 4 MEI: Bermodalkan syiling hasil tabungan kurang RM50, Wati Abd Rahman, 50, memulakan perniagaan Tepung Pelita Istimewa Paya Jaras pada 1999.

Dibantu suami Nadzri Taris, 48, kuih tepung pelita yang dihantar ke kantin sekolah di Paya Jaras pada mulanya ditolak. Namun, dia enggan mengalah.

“Masa mula-mula hantar ke sekolah, kantin tidak mahu sebab takut tidak boleh jual. Jadi saya cakap, tidak mengapa, saya sedekah.

“Esoknya saya datang ambil semula talam, mereka beritahu mahu dua talam untuk jual,” kata Wati ketika ditemui Selangorkini baru-baru ini.

Sejak itu permintaan tepung pelita keluaran Naluri Idea Sdn Bhd terus meningkat saban tahun, terutama bulan puasa dan Syawal.

Selepas 23 tahun, mereka kini mempunyai lebih 150 ejen di Selangor dan negeri jiran bagi memenuhi pasaran Tepung Pelita Istimewa Paya Jaras.

Setiap ejen mampu menjual antara 20 hingga 150 talam sehari yang setiap satu ada 70 tepung pelita, bergantung kepada lokasi.

Pengasas bersama Tepung Pelita Paya Jaras Wati Abdul Rahman dan suaminya Nadzri Taris ketika ditemui pada 10 Mac 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Mula berniaga

Mengaku awalnya tidak pandai membuat kuih tepung pelita, anak jati Paya Jaras itu belajar sendiri berpandukan resipi bapa saudara, sementara Nadzri membantu memasarkannya.

“Masa mula berniaga di pasar malam kami tiada kenderaan. Mahu sewa van tetapi tidak cukup duit. Jumpa seorang pemilik van cakap, boleh tak sewa van tetapi bayar selepas berniaga sebab tiada duit,” katanya.

Pada masa itu, kuih buatan Wati hanya dijual di pasar malam dan mendapat sambutan. Pada 2001, mereka mencuba nasib di bazar Ramadan Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh.

“Mula-mula berniaga bazar Ramadan pun drama juga. Saya bawa 20 talam. Jam 5.30 petang jualan peniaga lain ramai orang beli, tetapi tepung pelita saya masih tak jalan.

“Rasa macam mahu menangis. Hampir 6.30 petang barulah orang mula serbu beli. Alhamdullilah, tak sampai sejam habis 20 talam,” katanya.

Ternyata pelanggan menggemari tepung pelitanya. Hal itu membuatkan ramai penduduk kampung berminat menjual kuih keluaran mereka itu.

Pada 2002, Wati dan Nadzri mula memasarkan produk menerusi penduduk kampung yang menjadi ejen pada Ramadan tahun itu.

Sejak itu, tempahan slot ejen jualan Tepung Pelita Paya Jaras pada bulan puasa setiap tahun selalu penuh.

Bagi menampung pengeluaran semakin tinggi, pada 2010, mereka memindahkan operasi ke kilang yang disewa di Kampung Paya Jaras Hilir.

Mereka turut menggajikan 100 tukang masak, demi memastikan pengeluaran mengikut jadual.

Penyediaan kekal secara tradisional. Penggunaan mesin hanya memotong daun pisang dijadikan bekas kuih.

Peniaga Bazar Ramadan Elbis Yasman dan Mohd Julhilmi menjual Tepung Pelita Istimewa Paya Jaras di Bazar Ramadan Saujana Utama ketika tinjauan pada 4 April 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Istimewa

Wati amat menjaga kualiti Tepung Pelita Istimewa Paya Jaras. Bagi menepati piawai keenakan, setiap pengeluaran dihabiskan pada hari sama.

“Saya tidak kedekut bahan. Ada peniaga bila perniagaan ada nama, mereka kurangkan bahan tetapi saya tidak. Walau untung ciput, janji makan puas hati,” katanya.

Sementara itu, Wati berkongsi pihaknya terpaksa berdepan isu pengusaha lain menggunakan jenama Tepung Pelita Istimewa Paya Jaras tanpa izin.

Keadaan itu berlaku kerana usaha mendaftarkan jenama Tepung Pelita Istimewa Paya Jaras gagal berikutan syarat tidak membenarkan nama tempat dihakmilikan.

Menyedari potensi pasaran produknya, Wati dan Nadzri merancang memasarkan Tepung Pelita Istimewa Paya Jaras ke seluruh negara.

Penyelidikan dan pembangunan giat dijalankan supaya boleh dijadikan produk sejuk beku untuk pasaran seluruh negara.


Pengarang :