Orang ramai menghadiri majlis Rumah Terbuka Jelajah Kita Selangor Aidilfitri daerah Kuala Langat di Taman Perwira, Kuala Langat pada 7 Mei 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Duta Perpaduan dilantik di setiap 56 DUN, kukuh kesefahaman rakyat

SHAH ALAM, 27 MEI: Duta Perpaduan Selangor akan dilantik di setiap 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memupuk semangat muhibah dan kesefahaman di peringkat akar umbi.

EXCO Perpaduan Dr Siti Mariah Mahmud berkata pemilihan tersebut diuruskan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berdasarkan merit dan kelayakan peserta.

Temu bual bersama EXCO Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 1 Mac 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Kita alu-alukan mana-mana pihak, terutamanya golongan belia yang mahu menjadi Duta Perpaduan di setiap 56 DUN di Selangor.

“Duta itu akan diberi tanggungjawab untuk membantu melaksana pelbagai gerak kerja dan bekerjasama dengan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) untuk menyemarak semangat perpaduan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan sambutan Minggu Perpaduan peringkat negeri di Taman Tasik Shah Alam di sini hari ini.

Dr Siti Mariah berkata Kerajaan Negeri juga sudah meluluskan peruntukan sebanyak RM400,00 bagi melaksana pelantikan Duta Perpaduan di setiap DUN.

Jelasnya, setiap program berkaitan perpaduan perlu dijalankan secara berterusan dan konsisten bagi membumikan perasaan rakyat untuk hidup harmoni.

Terdahulu, kira-kira 5,000 pengunjung hadir seawal jam 7 pagi bagi menyertai pelbagai aktiviti seperti larian perpaduan, persembahan kebudayaan, piknik perpaduan dan sebagainya.

Sambutan bertemakan ‘Perpaduan dalam Kepelbagaian’ itu akan diteruskan di Taman Tasik Cempaka, Bandar Baru Bangi esok, dengan pelbagai pengisian menarik.


Pengarang :