EXCO Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Wanita dan Keluarga Dr Siti Mariah Mahmud ketika ditemu bual Media Selangor di Bangunan Pentadbiran Kerajaan Negeri di Shah Alam pada 1 Mac 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Belia Selangor dipelawa sertai program duta perpaduan, pupuk kemahiran jadi pemimpin

Oleh Diana Abd Wahab

SHAH ALAM, 11 MEI: Orang ramai khususnya belia di negeri ini dipelawa menyertai program Duta Perpaduan Selangor 2023 anjuran Kerajaan Negeri.

EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud berkata program diadakan untuk memupuk kemahiran dan pengetahuan belia menjadi pemimpin perpaduan dan keamanan dalam komuniti.

“Kita sedang mencari 56 wakil terdiri daripada pelbagai latar belakang di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang mahu mengurangkan ketegangan agama dan etnik dalam komuniti masing-masing.

“Kita juga mencari Duta Perpaduan yang ingin mewujudkan persekitaran yang lebih inklusif selain membina jambatan merentas jurang perbezaan latar belakang melalui pelbagai projek lapang,” katanya di Facebook.

Dr Siti Mariah berkata menerusi program itu peserta akan menyertai kem latihan pada 23 hingga 25 Jun bagi mempelajari kepentingan persefahaman dan metodologi komunikasi.

Jelasnya selepas mengikuti kem latihan peserta diberi tanggungjawab melaksanakan projek lapangan berteraskan perpaduan bersama ahli komuniti masing-masing bermula pada 26 Jun hingga 30 November ini.

Beliau berkata setiap Duta Perpaduan Selangor akan menerima peruntukan berjumlah RM4,000 untuk melaksanakan projek lapangan.

Siri kedua program Duta Perpaduan Selangor dilancarkan oleh Majlis Perpaduan dan Integrasi Selangor dengan kerjasama Architects of Diversity.

Untuk keterangan lanjut boleh layari https://aodmalaysia.org/duta-perpaduan-selangor atau hubungi Donna menerusi e-mel [email protected].

Permohonan boleh dibuat menerusi https://forms.gle/VScSRdK4hAJJvo4u9 atau scan kod QR di poster sebelum 28 Mei ini.


Pengarang :