Mufti Besar Mesir Syeikh Dr Ali Jum’ah (tengah) menyampaikan amanat pada program Himpunan Ilmuwan Muda Timur Tengah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shha Alam pada 24 Mei 2023. Hadir sama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (kiri). Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Festival Turath: Graduan Universiti al-Azhar tidak lepas peluang dengar amanat guru

SHAH ALAM, 25 MEI: Bekas pelajar Universiti al-Azhar, Mesir sanggup mengambil cuti kerana tidak mahu melepaskan peluang bertemu dan mendengar secara langsung amanat Syeikh Dr.Ali Jum’ah.

Ustazah Nurul Afifah Ali,27, dari  Kolej Islam Sultan Alam Shah,berkata beliau mula bercuti sejak kelmarin khusus untuk mengikuti acara dianjurkan menerusi Festival Turath Islami Selangor.

“Saya tamat belajar di Mesir pada 2019 dan setiap kali ada majlis ilmu dihadiri beliau, para pelajar tidak akan melepaskan peluang untuk mengikutinya.

Bekas pelajar Universiti al-Azhar Nurul Afifah Ali, 27. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Hampir 10 kali saya berpeluang ikuti majlis ilmunya yang diadakan secara terbuka di masjid.

“Mengikuti majlis ilmunya sangat menarik dan walaupun boleh mendengar di dalam talian, ia tidak sama,” katanya ditemui pada Himpunan Ilmuan Muda Timur Tengah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah semalam.

Sementara itu, pengarah program tersebut, Ashraf Ahmad Hadi berkata, himpunan dihadiri pelajar lepasan universiti Islam Timur Tengah itu khusus untuk mereka yang pernah menuntut di Mesir, Jordan dan Maghribi.

“Dengan pertemuan ini dapat menggamit memori pelajar untuk bertalaqi secara berdepan dengan syeikh setelah sekian tamat belajar.

“Secara peribadi, saya juga teruja kerana sebelum ini ketika belajar di Jordan tidak pernah bersemuka dengan beliau. Apabila dapat menguruskan acara dihadirinya, ia merupakan satu penghargaan,” katanya.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari hadir ke himpunan tersebut yang dihadiri bekas Mufti Besar Mesir Syeikh Dr. Ali Jum’ah.

Pengarah Himpunan Ilmuwan Muda Ashraf Ahmad Hadi. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Menerusi Himpunan Ilmuan Muda Timur Tengah itu, Syeikh Dr. Ali Jum’ah menyampaikan amanat bertajuk Fiqh Muwatonah (fekah kewarganegaraan) dan Empat Model Hidup Bersama di hadapan lebih 500 graduan universiti Islam di Timur Tengah.

Himpunan tersebut merupakan sebahagian acara Festival Turath Islami Selangor dianjur Kerajaan Negeri bagi mengangkat perbincangan dan penghayatan mengenai kitab Ihya’ Ulumuddin karya Imam al-Ghazali.

Program kali pertama dianjurkan dalam bahasa Melayu merangkumi lapan acara termasuk Daurah Afkar Ihya Ulumuddin, seminar penghayatan Ihya Ulumuddin dan interaksi bersama pemegang taruh seperti pimpinan pendidikan.

Dengan kerjasama Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE), festival ini menyasarkan penyertaan 2,500 warga Selangor dan rakyat Malaysia.

IBDE yang menerima geran Kerajaan Negeri, bakal menterjemah 15 karya mulai tahun ini termasuk kitab Ihya Ulumuddin yang bakal diterbit dalam 20 siri dan dijangka siap sepenuhnya pada 2026.


Pengarang :