Orang ramai membeli barangan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran di tapak pasar malam Selayang Baru, Gombak pada 8 Mei 2023. Foto SHAMZ JOHAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Ibu tunggal harap program jualan murah diteruskan, bantu ringan belanja

Oleh Shamz Johan

SELAYANG, 8 MEI: Seorang ibu tunggal berharap program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) yang menjual barangan keperluan asas pada harga murah diteruskan pada masa akan datang bagi meringankan beban rakyat.

Syarifah Suparman, 47, berkata jualan murah ini dapat membantu menjimatkan perbelanjaan keluarganya berikutan masih perlu menyara pelajaran anak di kolej.

Syarifah Suparman

“Pendapatan saya hanya cukup-cukup makan, perlu menyara dua anak, seorang belajar di kolej, belanjanya bukan sedikit. Jualan JER ini sangat membantu meringankan beban kewangan kami.

“Selain ibu tunggal seperti saya, ramai lagi jiran-jiran yang bukan orang senang, ada yang asnaf.. jadi, kami sangat berharap agar JER ini diteruskan,” kata penjual pakaian terpakai itu ketika ditemui.

Manakala suri rumah, Emi Darma Nasarudin, 54 memberitahu dia dapat berjimat lebih tiga kali ganda dengan harga ditawarkan di program anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) itu.

“Jika beli di tempat lain, perbelanjaan untuk seminggu mencecah RM200 berbanding hanya RM50 hingga RM60 saja kalau beli di sini.

Emi Darma Nasarudin

“Saya puas hati dengan harga ditawarkan, JER ini dapat bantu keluarga kurang kemampuan seperti saya, memang patut program ini diteruskan,” katanya lagi.

Seorang pesara, Hadi Mamat Abdullah, 78 berpendapat program ini antara inisiatif Kerajaan Negeri yang paling baik dan berkesan.

“Program ini membantu kami (penduduk) dapatkan barang murah dan penganjuran juga dekat dengan rumah. Setakat ini, inisiatif jualan murah ini yang paling bagus dan berkesan,” katanya yang sudah 15 kali datang ke JER.

Terdahulu, lebih 400 ekor ayam habis dijual dalam tempoh sejam pada program JER peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua di tapak pasar malam Selayang Baru di sini pagi tadi.

Hadi Mamat Abdullah

Pada 17 April lalu Ketua Pegawai Eksekutif PKPS, Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata JER mungkin disambung kerana beliau percaya Kerajaan Negeri tidak akan menghentikan program itu begitu sahaja.

Menurutnya, beliau percaya Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari akan meminta supaya JER dilanjut sekurang-kurangnya sehingga Julai atau Ogos ini.


Pengarang :