Pengarah Urusan KDEBWM Ramli Mohd Tahir bercakap kepada media ketika Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri KDEBWM di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), Shah Alam pada 11 Mei 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

KDEBWM bina tiga lagi pusat kitar semula di Kuala Langat, Hulu Selangor, Selayang

SHAH ALAM, 11 MEI: KDEB Waste Management (KDEBWM) akan membina tiga lagi kemudahan pusat kitar semula bahan (MRF) pada tahun ini, maklum pengarah urusannya.

Dato’ Ramli Mohd Tahir berkata tiga lokasi berkenaan adalah di Kuala Langat, Hulu Selangor dan Selayang, menjadikan keseluruhan enam MRF akan beroperasi di negeri ini.

“Tiga pusat kitar semula memang sudah beroperasi sekarang, kita rancang tahun ini akan buka lagi tiga, sekarang yang ada di Klang, Subang Jaya dan Cyberjaya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri KDEBWM di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini, hari ini.

Ramli berkata MRF juga berkemampuan memproses barang kitar semula untuk menghasilkan produk baharu.

“Buat masa ini, kita sedang bekerjasama dengan tiga syarikat berkaitan yang mempunyai teknologi untuk mentransformasikan sisa plastik kepada biodiesel,” katanya.

Pada masa sama, beliau menyeru masyarakat rajin mengasingkan kategori sampah selain elak menggunakan beg plastik.

“Sebab itu saya berpandangan semua orang tidak kira, budak kecil, dewasa dan sebagainya kita belum mengambil serius berkenaan dengan janaan sampah. Dalam tempoh setahun, rakyat Malaysia guna 1 bilion beg plastik yang tidak terbiodegradasi,” ujarnya.

Sebelum ini,  EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata  pihaknya sedang mengenal pasti kawasan bersesuaian di setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk dijadikan lokasi pusat kitar semula.


Pengarang :