Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi K Saraswathy (tiga, kanan) bersama EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han (dua, kiri) bergambar bersama wakil Etransact Technology Sdn Bhd pemenang utama Anugerah Peniaga E-Dagang Utama Malaysia (Top ECM) 2023 di Hotel Hilton Kuala Lumpur pada 27 Mei 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kementerian puji usaha Selangor perkasa komuniti e-dagang

KUALA LUMPUR, 27 MEI: Inisiatif komprehensif dan inovatif disedia Kerajaan Negeri kepada komuniti e-dagang menerusi Perbadanan Teknologi Maklumat Ekonomi Digital Selangor (Sidec) dipuji.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi K Saraswathy berkata usaha itu membuktikan komitmen Selangor menyokong usahawan selain meraih kejayaan menerusi era digital.

Berucap pada majlis Anugerah Peniaga e-Dagang Utama Malaysia (Top ECM) 2023 anjuran Sidec, beliau berkata pengiktirafan itu melambangkan komitmen Selangor terhadap masa depan sektor e-dagang yang mampan dan berdaya tahan.

“Melalui program ini usaha memupuk kerjasama, perkongsian pengetahuan dan pembinaan kapasiti ke arah memperkasakan usahawan tempatan dilaksanakan supaya dapat melakar kecemerlangan dalam landskap e-dagang yang sentiasa berubah.

“Teknologi digital harus diterima sebagai elemen yang menyatupadukan amalan mampan. usaha menyokong dan memperkasa usahawan perlu digiatkan kerana mereka adalah pemacu kemakmuran ekonomi dan pemangkin ekonomi digital cergas dan mampan,” katanya.

Anugerah Top ECM 2023 memasuki edisi kelapan yang memberi pengiktirafan kepada peniaga e-dagang dengan 602 penyertaan diterima Sidec.

Peserta dinilai berdasarkan tiga kriteria iaitu jualan dalam talian (50 peratus), jualan siaran langsung (25 peratus) dan potensi perniagaan (25 peratus) oleh juri yang pakar dalam industri.

Syarikat penyedia perkhidmatan tiket bas dalam talian, Etransact Technology Sdn Bhd dinobat juara Anugerah Top ECM 2023 yang menerima hadiah wang tunai RM10,000, piala dan sijil penyertaan.


Pengarang :