Peserta pakaian beragam dari Sekolah Kebangsaan Raja Muda, Seksyen 4, Shah Alam mengenakan busana tradisional masyarakat berbilang kaum sempena Karnival Kanak-Kanak Negeri Selangor 2023 di Dewan Raja Muda Musa Seksyen 7 Shah Alam pada 27 Mei 2023. Foto DIANA ABD WAHAB/SELANGORKINI
SELANGOR

Pertandingan pakaian beragam pupuk perpaduan peserta cilik

Oleh DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 27 MEI: Pertandingan pakaian beragam sempena Karnival Kanak-Kanak Negeri Selangor 2023 mampu memupuk semangat perpaduan dan patriotisme peserta cilik.

Seorang ibu, Nur Zuhaila Md Shah, 46, berkata pertandingan disertai anaknya Adra Mikayla Mohd Shahrulnizam, 6, bersama enam lagi rakan yang mewakili Sekolah Kebangsaan Raja Muda Seksyen 4 mempamer kepelbagaian budaya.

Nur Zuhaila Md Shah bersama anaknya, Adra Mikayla Mohd Shahrulnizam yang memakai kebaya. Foto DIANA ABD WAHAB/SELANGORKINI

“Guru cadangkan agar anak kami kenakan busana tradisional masyarakat berbilang kaum agar mereka tahu kepelbagaian budaya yang wujud di negara ini.

“Secara tidak langsung ia pupuk perpaduan dan sikap saling menghormati kerana anak-anak ini sudah didedahkan dengan budaya masyarakat berbilang kaum menerusi busana yang mereka kenakan,” katanya.

Terdahulu berlangsungnya pertandingan pakaian beragam sempena karnival berkenaan Dewan Raja Muda Musa Seksyen 7 di sini hari ini.

Fariza Zabir bersama anaknya, Yunus Emre Ilhan yang mengenakan busana pahlawan Turki. Foto DIANA ABD WAHAB/SELANGORKINI

Sementara itu, Fariza Zabir, 40, menyifatkan penyertaan anaknya Yunus Emre Ilhan, 5, sebagai medium terbaik memperkenal budaya negara luar kepada rakyat negara ini.

“Saya tonjolkan busana pahlawan Turki supaya masyarakat tahu bagaimana pakaian yang digunakan ketika kebangkitan kerajaan Turki Uthmaniah.

“Selain itu saya pilih busana ini agar anak tahu dan hargai budaya suami yang berasal dari Turki. Tak sangka anak saya terima anugerah pakaian terbaik lelaki,” katanya.

Bagi Syahfeeza Shaharudin, 38, penyertaan anaknya Azeeza Mohd Yunan, 6, dalam acara itu membantu meningkatkan keyakinan diri kanak-kanak itu.

Syahfeeza Shaharudin bersama anaknya, Azeeza Mohd Yunan yang mengenakan sari. Foto DIANA ABD WAHAB/SELANGORKINI

“Walaupun ini pertama kali anak sertai pertandingan saya lihat dia berani ke depan dan mesra bergaul dengan rakan baru.

“Pada saya keyakinan anak dapat dibina dengan penglibatan serta sokongan ibu bapa. Tanpa sokongan mereka tidak berani ke depan. Lebih menggembirakan anak terpilih sebagai pemenang pakaian terbaik perempuan,” katanya.

Karnival Kanak-Kanak Negeri Selangor 2023 disertai hampir 1,000 peserta berusia antara sebulan hingga enam tahun yang bakal menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) kerana mengumpulkan penyertaan pakaian beragam kanak-kanak paling ramai.

Berlangsung selama dua hari bermula hari ini turut menyediakan pelbagai aktiviti menarik antaranya teater dan persembahan muzikal, pameran gerai selain pelbagai aktiviti untuk kanak-kanak.


Pengarang :