Pengerusi Bersama Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Negeri Selangor (Limas) Hee Loy Sian bergambar bersama tetamu pada sambutan Hari Wesak Peringkat Negeri Selangor 2023 di Taman Bodhi-Samadhi Vihara, Seksyen U12, Shah Alam pada 6 Mei 2023. Foto Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor
EXCOSELANGOR

Kerajaan Negeri adakan dialog dengan pengusaha tapak perkhemahan Jun atau Julai

Oleh AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 6 MEI: Pengusaha tapak perkhemahan di negeri ini diminta tidak takut untuk mendaftar perniagaan mereka dengan pihak berkuasa tempatan (PBT).

EXCO Pelancongan dan Alam Sekitar Hee Loy Sian berkata Kerajaan Negeri tidak berniat menutup atau menarik lesen perniagaan mereka sebaliknya ingin memastikan keselamatan di tapak perkhemahan terjamin untuk pelancong yang datang berkhemah.

“Kita minta daftar supaya jika berlaku apa-apa kita boleh segera bantu tetapi mereka takut penguat kuasa datang periksa tempat mereka.

“Penguat kuasa datang hanya untuk periksa keselamatan di kawasan tersebut dan bagi cadangan jika lokasi di situ didapati kurang sesuai pindah ke tempat lebih selamat, bukan nak terus tutup atau tarik lesen mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan sambutan Hari Wesak Peringkat Negeri Selangor 2023 di Taman Bodhi-Samadhi Vihara, Seksyen U12 di sini hari ini.

Sehubungan itu Loy Sian berkata pihaknya akan mengadakan satu lagi sesi dialog dengan pengusaha tapak perkhemahan Jun atau Julai ini supaya mereka faham keutamaan Kerajaan Negeri adalah keselamatan pelancong.

Ditanya jumlah pengusaha tapak perkhemahan yang berdaftar di setiap PBT setakat ini, beliau berkata angka itu masih belum diperolehi.

Bermula 1 Februari lalu, semua pengusaha tapak perkhemahan di Selangor diwajibkan berdaftar dengan PBT bagi menjamin keselamatan pengunjung.

Keputusan itu dibuat susulan tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Batang Kali pada Disember tahun lalu, yang mengorbankan 31 nyawa.


Pengarang :