Orang ramai mengambil makanan yang disajikan sempena majlis Rumah Terbuka Jelajah Kita Selangor Aidilfitri daerah Petaling di tapak pasar malam Paya Jaras, Sungai Buloh, Shah Alam pada 6 Mei 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Rumah terbuka Kerajaan Negeri rapatkan silaturahim, satu padukan rakyat

SHAH ALAM, 6 MEI:  Jelajah Kita Selangor Aidilfitri adalah program bermanfaat yang mampu menyatupadukan rakyat dan merapatkan silaturahim.

Suri rumah, Rosmanita Noorizan, 34, berkata menerusi program itu, dia dapat bertemu dengan penduduk terutama guru yang mengajar di sekolah anak-anaknya.

Rosmanita Noorizan. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Kadang-kala hari raya kita tidak sempat berkunjung, jadi dengan adanya rumah terbuka seperti ini dapat bertemu sekali gus merapatkan silaturahim.

“Selain itu, pelbagai juadah dihidangkan kepada tetamu, antara tarikan kambing bakar dan ayam golek,” katanya ditemui pada Jelajah Kita Selangor Aidilfitri

(JKSA) daerah Petaling di tapak pasar malam Sungai Buloh, Paya Jaras hari ini.

Sementara itu, Nor Shamsina Dolmat, 50, berkata hari ini dia hanya pergi ke rumah terbuka anjuran Kerajaan Negeri itu saja.

“Saya tahu program ini ketika Ramadan lagi dan memang berniat pergi rumah terbuka ini bersama keluarga.

Nor Shamsina Dolmat. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Kami gembira dan berpuas hati kerana ada program keramaian seperti ini di Paya Jaras yang mengumpulkan ramai masyarakat pelbagai kaum,” katanya.

Pemandu syarikat swasta, Mohd Shafid Said, 36, berkata dia tinggal di Puchong dan datang ke Paya Jaras untuk beraya ke rumah saudara bersama keluarganya.

“Apabila mengetahui rumah terbuka ini, saya ambil keputusan untuk singgah sebentar sebelum beraya.

“Saya lihat ramai hadir dan sangat meriah selain banyak makanan disediakan dan saya dan keluarga boleh menikmati semuanya,” katanya.

Mohd Shafid Said. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Jelajah Kita Selangor Aidilfitri diteruskan minggu ini bermula di Hulu Langat diikuti daerah Petaling bertempat di tapak pasar malam Sungai Buloh hari ini dan Taman Perwira Sijangkang, Kuala Langat pada esok.

Program ini diteruskan di Dataran Tanah Lesen, Parit Baru, Sabak Bernam (12 Mei) dan padang awam Bukit Badong, Kuala Selangor (13 Mei).

Jelajah bakal berakhir di tapak Uptown Sri Gombak, Gombak pada 14 Mei yang dijadual dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Program rumah terbuka Aidilfitri yang berlangsung di sembilan daerah itu dimulakan di Sepang, Hulu Selangor dan Klang minggu lalu.

Kanak-kanak menunjukkan duit raya sempena majlis Rumah Terbuka Jelajah Kita Selangor Aidilfitri daerah Petaling di tapak pasar malam Paya Jaras, Sungai Buloh, Shah Alam pada 6 Mei 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

 


Pengarang :