Petugas TNB Muhammad Zahiri Yami ketika menjalankan tugas membaca meter di premis pengguna. Foto Facebook TNB Careline
AGENDANASIONAL

Ketetapan subsidi bersasar tarif elektrik dijangka diumum hujung tahun

SHAH ALAM, 25 MEI: Ketetapan baharu Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) bagi pelaksanaan subsidi bersasar tarif elektrik diumum hujung tahun selepas sistem Pangkalan Data Utama (PADU) siap.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata kementerian masih meneliti pilihan pelepasan surcaj ICPT yang munasabah kepada pengguna elektrik di Semenanjung bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Disember.

“Ini selaras fokus semasa Kerajaan supaya pemberian subsidi dilaksanakan secara bersasar berdasarkan jumlah penggunaan elektrik mengikut kediaman bagi pengguna kategori domestik terutamanya yang menggunakan elektrik dengan kadar yang tinggi.

“Hanya bila kita betul-betul melepaskan kos tersebut kepada pengguna voltan tinggi dan sederhana dan pengguna besar atau T20 baru kita dapat mencapai objektif tersebut.

“Keputusan untuk ICPT yang seterusnya akan dibuat selepas pembentangan dan persetujuan di peringkat Jemaah Menteri dalam masa yang terdekat,” katanya pada katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong yang ingin tahu langkah sedang dirancang kerajaan untuk merasionalisasikan subsidi tenaga elektrik.

Nik Nazmi berkata kerajaan memberikan komitmen untuk menampung subsidi bil elektrik berjumlah RM10.76 bilion bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun ini.

“Ini bagi memastikan seramai 9.5 juta pengguna elektrik mewakili 99 peratus daripada keseluruhan pengguna diSemenanjung Malaysia tidak akan terkesan dengan kenaikan kos bahan api untuk penjanaan elektrik.

“Tarif elektrik disemak setiap enam bulan sekali melalui ICPT dengan mengambil kira kos bahan api dan kos penjanaan lain bagi tempoh enam bulan ke belakang,” katanya.

 


Pengarang :