EXCO Pembangunan Sosio Ekonomi, Kebajikan Masyarakat dan Pemberdayaan Pekerja V Ganabatirau (dua, kiri) melihat katil dan keperluan fasiliti pusat kebajikan ketika majlis Simbolik Penyerahan Peruntukan Program Santuni Pusat Kebajikan Negeri Selangor di Pusat Jagaan Mahmudah, Hulu Langat pada 25 Mei 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Negeri peruntuk RM100,000 bantu 20 rumah kebajikan, tampung kos operasi

HULU LANGAT, 25 MEI: Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah RM100,000 bagi membantu 20 rumah kebajikan terpilih untuk menampung kos operasi di pusat jagaan masing-masing.

EXCO Kebajikan Masyarakat V Ganabatirau berkata sumbangan disalurkan melalui program Santuni Pusat Kebajikan Masyarakat negeri Selangor 2023.

“Geran peruntukan RN5,000 untuk setiap rumah kebajikan terpilih di negeri Selangor. Melalui program hari ini jumlah keseluruhan diperuntukkan RM100,000 untuk 20 pusat jagaan.

EXCO Pembangunan Sosio Ekonomi, Kebajikan Masyarakat dan Pemberdayaan Pekerja V Ganabatirau bersama wakil rumah kebajikan yang menerima sumbangan ketika majlis Simbolik Penyerahan Peruntukan Program Santuni Pusat Kebajikan Negeri Selangor di Pusat Jagaan Mahmudah, Hulu Langat pada 25 Mei 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Kerajaan Negeri menyedari kos operasi pusat jagaan semakin meningkat jadi melalui Jawatankuasa Tetap Kebajikan Masyarakat program ini diadakan. Saya berharap bantuan ini sedikit sebanyak dapat menampung keperluan pusat jagaan ini,” katanya.

Terdahulu, beliau menyempurnakan majlis penyerahan peruntukan program bawah Jawatankuasa Tetap Kebajikan Masyarakat di Pusat Jagaan Mahmudah di sini, hari ini.

Pada majlis itu, 20 pusat kebajikan menerima geran peruntukan menerusi Program Santuni Kebajikan Masyarakat negeri Selangor tahun 2023 melalui kerjasama Angkatan Belia Malaysia (ABM) dengan jumlah keseluruhan RM100,000.

Ganabatirau menambah, beliau berharap program ini dikekalkan agar agenda kerajaan negeri memperkasakan rumah kebajikan dapat diteruskan.

“Program ini dilaksanakan kerana Kerajaan Negeri mentadbir dengan konsep kebajikan. Saya harap ia kekal dilaksanakan selepas ini,” jelasnya.


Pengarang :