Bekas Mufti Besar Mesir, Syeikh Dr Ali Jum’ah menyampaikan syarahan ketika Festival Turath Islami Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 20 Mei 2023 . Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kitab Ihya’ Ulumuddin pandu umat Islam kembali kepada agama

SHAH ALAM, 20 MEI: Kitab Ihya’ Ulumuddin karya tokoh Imam al-Ghazali terhasil susulan mahu membangkitkan semula penghayatan ibadah umat Islam dalam bentuk sahih.

Bekas Mufti Besar Mesir, Syeikh Dr Ali Jum’ah berkata Imam al-Ghazali yang hidup pada kurun kelima melihat bahawa ibadah umat Islam ketika itu hanya pada luaran sahaja selain hilang penghayatan agama.

“Tujuan Imam al-Ghazali mengarang kitab Ihya’ Ulumuddin apabila melihat ibadah bertukar daripada kebiasaannya. Hilang roh dengan ibadat, hilang khusyuk daripada solat, hilang zuhud daripada kehidupan dan niat yang baik serta amal soleh.

Bekas Mufti Besar Mesir, Syeikh Dr Ali Jum’ah menyampaikan syarahan ketika Festival Turath Islami Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 20 Mei 2023 . Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Agama pada ketika itu tidak kekal melainkan zahir rupa luaran dan hilang hakikat dalaman penghayatan terhadap urusan agama.

“Jadi, perlu ada satu usaha, program untuk bangkitkan semula penghayatan agama dalam bentuk yang sahih. Sebab itu, Imam al-Ghazali karang kitab Ihya’ Ulumuddin,” katanya pada Daurah Afkar Ihya’ Ulumuddin karya Imam al-Ghazali di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini hari ini.

Kupasan tokoh ulama antarabangsa itu diterjemah dari bahasa Arab ke bahasa Melayu oleh Ustaz Noorazam Bahador.

Beliau berkata dengan adanya kitab itu ia dapat mengembalikan umat Islam kepada agama Allah SWT dan ilmu dengan mencapai matlamatnya.

“Antara matlamatnya ialah untuk mengikat hati umat dengan Allah SWT, bawa perasaan takut pada Allah SWT, zuhud dalam kehidupan dunia,” katanya.

Orang ramai mendengar Daurah Afkar Ihya Ulumuddin karya Imam al-Ghazali disampaikan oleh bekas Mufti Besar Mesir, Prof Dr Ali Jum’ah ketika Festival Turath Islami Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 20 Mei 2023 . Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan isteri Datin Seri Masdiana Muhamad hadir ke program yang merupakan salah satu acara Festival Turath Islami Selangor.

Festival Turath Islami Selangor berlangsung sehingga 25 Mei ini dianjurkan Kerajaan Negeri bertujuan mengangkat perbincangan dan penghayatan mengenai kitab Ihya’ Ulumuddin karya Imam al-Ghazali.

Menampilkan beberapa tokoh ulama antarabangsa seperti bekas Mufti Besar Mesir, Prof Dr Ali Jum’ah, majlis dengan kerjasama Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) itu menyasarkan penyertaan 2,500 warga Selangor dan rakyat Malaysia.

Bekas Mufti Besar Mesir, Prof Dr Ali Jum’ah menyampaikan syarahan ketika Festival Turath Islami Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 20 Mei 2023 . Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pendaftaran program boleh dibuat secara dalam talian dengan melayari https://www.turathislamiselangor.com/.

IBDE yang menerima geran Kerajaan Negeri, bakal menterjemah 15 karya mulai tahun ini termasuk kitab Ihya Ulumuddin yang bakal diterbit dalam 20 siri dan dijangka siap sepenuhnya pada 2026.

Program utama dipancar secara langsung di Facebook Media Selangor dan YouTube SelangorTV.


Pengarang :