Kitab Ihya’ Ulumuddin karya Imam al-Ghazali yang sedang diterjemah Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE). Foto IBDE
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Penterjemah: Kupasan kitab Ihya’Ulumuddin permudah persoalan rumit

Ihya’ Ulumuddin dianggap karya teragung Imam al-Ghazali daripada pelbagai kitab tulisan beliau pada abad ke-12. Sehingga kini, karangan itu banyak mempengaruhi kehidupan umat Islam.

Merangkumi 40 kitab, kitab pertama karya itu diterjemah ke bahasa Malaysia oleh Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) menerusi projek Siri Warisan Islami Selangor. Terjemahan itu dijangka berada di pasaran pada Jun.

Sempena Festival Turath Islami Selangor yang membedah Ihya’ Ulumuddin pada 20-25 Mei ini, Selangorkini menemu bual penterjemah Zahid M Naser dan Hilmi Marjunit, lulusan bidang usuluddin daripada universiti di Asia Barat berhubung usaha penterjemahan jilid pertama karya agung itu pada 15 Mei.

Apa menarik mengenai karya ini?

Zahid: Saya kira yang menarik daripada karya ini kita dapat melihat pemikiran al-Ghazali ketika fasa dia sudah beruzlah di Damsyik, selepas dia bermuhasabah, bertafakur terhadap perjalanan hidup dan ilmiahnya yang rencam.

Dengan karya ini juga kita akan melihat kedinamikan dalam pemahamannya terhadap disiplin ilmu tasawuf yang dijalin harmoni dengan ilmu-ilmu syarak yang lain.

Satu lagi, barangkali penyusunannya yang memudahkan pembaca untuk mengikuti alur penghujahan al-Ghazali bagi menyikapi pelbagai fahaman yang dianggap menyimpang daripada fahaman salaf.

Hilmi: Lebih kurang 10 tahun lalu, saya pernah terdengar kata-kata yang berbunyi, “Ihya’ itu hampir-hampir menyerupai al-Quran.”

Pada mulanya saya janggal dengan kenyataan tersebut tetapi saya biarkan ia dahulu kerana belum lagi menelaah Ihya’. Tidak lama kemudian, tatkala saya membaca Ihya’ sedikit demi sedikit, barulah saya faham ertinya.

Hal ini kerana secara umum, Ihya’ mengupas tentang intisari agama Islam berdasarkan susunan kitab fikah tetapi turut diiringkan dengan falsafah bagi setiap cabang fikah tersebut. Bahkan darihal kupasan tersebut, Ihya’ mendekatkan pembaca kepada al-Quran kerana ia panduan utama agama Islam.

Sehubungan itu, saya berpendapat umat Islam perlu diperkenalkan dengan Ihya’ bagi menghayati agama ini dalam kehidupan, justeru di sinilah titik mula kewajaran Ihya’ diterjemah ke dalam bahasa Malaysia secara lengkap.

Apa cabaran menterjemah karya, sama ada dari segi bahasa dan lain-lain?

Zahid: IBDE menggunakan pendekatan penterjemahan dinamik. Daripada pendekatan itu, kami perlu melakukan kajian dan bacaan silang yang banyak bagi mendapatkan atau mendekatkan intipati idea-ideanya dengan tatabahasa bahasa Melayu dalam masa yang sama masih mengekalkan semangat bahasa Arab.

Proses penterjemahan yang menggunakan dua khidmat penterjemah juga mungkin menjadi cabaran kepada penyunting (Badrul Aini) bagi mengharmonikan dua ‘otak’ ketika menterjemah karya ini.

Hilmi: Antara kehebatan al-Ghazali ialah mampu menyampaikan idea kompleks dengan gaya bahasa yang ringkas tetapi dalam lenggok sasterawi yang sederhana.

Kita dapat mengesan unsur ini dalam hampir kesemua penulisan beliau. Oleh itu, cabaran menterjemah karya ini tentulah dari sudut mengekalkan unsur tersebut semampu yang boleh tanpa menghilangkan idea yang ingin disampaikan.

Zahid M Naser

Apa ilmu baharu diperoleh ketika proses menterjemah karya itu?

Zahid: Saya fikir antara yang banyak saya pelajari adalah cara pengolahan al-Ghazali dalam membentangkan pemikirannya atau tesisnya kepada audiens. Dengan hujah akliah dan naqliah (wahyu), al-Ghazali banyak mengetuk pengetahuan yang penterjemah ada.

Hal ini kerana, al-Ghazali juga turut membentangkan fikirannya dengan persoalan bersifat falsafi, sebagai contoh analogi-analogi yang beliau anjurkan. Ia secara tak langsung membuat kita melihat zaman masa kini. Pemerhatiannya yang dibuat pada kurun kelima Hijrah itu sebenarnya masih relevan dengan realiti sekarang.

Hilmi: Bagi jilid pertama, ada dua perkara yang sangat memberi kesan terhadap diri saya. Pertama, al-Ghazali membuatkan pembaca ingin menghayati al-Quran kerana inilah tunjang utama ilmu bagi umat Islam dan seterusnya beliau turut membawakan kisah tentang penghayatan ulama terdahulu terhadap al-Quran dalam kehidupan mereka serta cara al-Quran membentuk cara berfikir mereka.

Kedua, al-Ghazali mengupas dengan teliti berkaitan ciri-ciri ulama akhirat dan perbezaannya dengan ulama dunia. Hal ini bagi saya sangat relevan untuk diketengahkan semula pada hari ini agar masyarakat lebih mendahulukan ilmu dan akhlak agamawan serta pada masa yang sama tidak mudah terpesona hanya dengan penampilan luaran mereka.

Berapa lama proses terjemahan?

Zahid dan Hilmi: Proses terjemahan masih berlangsung, kami menetapkan menterjemah sekurang-kurangnya empat muka surat sehari. Memandangkan naskhah teks asal mencecah 10 jilid dengan setiap jilid mengandungi 700 muka surat, kami menyasarkan penterjemahannya dapat disiapkan dalam tempoh tiga hingga empat tahun.

Hilmi Marjunit

Boleh perincikan jilid pertama Ihya’ Ulumuddin mengenai apa? Ada atau tidak diceritakan dalam karya ini mengenai pertentangan antara aliran agama dan falsafah?

Zahid: Dalam jilid pertama terjemahan ini, al-Ghazali memberikan kompas kepada pembaca bagaimana menanggapi ilmu pengetahuan. Beliau banyak membahaskan epistemologi ilmu, dan beberapa isu mengenainya sekali gus menjawab persoalan berbangkit.

Beliau tidak secara terus membahaskan pertentangan sedemikian, namun beliau membuka perbahasannya dengan menjelaskan kerancuan yang berlaku dalam pelbagai aliran termasuk golongan ahli kalam, falsafah, fikah dan lain-lain yang dilihat ada yang menyimpang daripada fahaman salaf.

Beliau juga mengupas punca-punca mengapa kerancuan itu berlaku dan menganjurkan pemahaman yang menurut ijtihadnya lebih mendekati golongan salaf.

Hilmi: Jilid pertama Ihya’ ini dinamakan sebagai Kitab Ilmu. Jilid ini membicarakan tentang ilmu, mengajar dan belajar. Berkaitan tiga unsur ini, al-Ghazali mengaitkannya dengan al-Quran, hadis dan kisah ulama terdahulu.

Pada akhir kitab, al-Ghazali menutup dengan bab yang membicarakan tentang akal lantaran ia ‘alat’ yang dicipta untuk menggarap dan menyelami ilmu pengetahuan. Secara tidak langsung, bab ini juga menjadi jambatan yang menghubungkan kitab Ilmu ini dengan kitab yang seterusnya, iaitu Kitab Asas Akidah yang sedang diterjemah sekarang.

Kitab Ilmu tidak mengupas secara terperinci tentang pertentangan antara aliran agama dan falsafah, bahkan ia disebut sebagai selingan sahaja. Saya fikir hal ini kerana matlamat utama beliau dalam kitab ini hanyalah bicara tentang ilmu secara umum.

Apa mesej dan pengajaran dalam karya ini yang boleh dijadikan iktibar kepada pembaca?

Zahid: Bagi jilid pertama ini, saya fikir lontaran ideanya akan membuat audiens pembaca bahkan saya sendiri untuk menginsafi betapa seseorang penuntut ilmu atau orang yang berilmu (alim ulama) amat mudah tergelincir dalam gejolak nafsu dan tarikan dunia.

Ia memberikan kita kesedaran dan cara bagaimana berdepan dengan tarikan-tarikan itu supaya seorang penuntut ilmu tidak terjatuh dalam kancah kejahatan.

Hilmi: Dalam pendahuluan kitab Ihya’, al-Ghazali menyatakan bahawa sasaran pembaca beliau ialah penuntut ilmu agama yang kebanyakannya mempelajari fikah, justeru inilah punca beliau menyusun Ihya’ berdasarkan cabang ilmu fikah.

Dari sudut lain pula, tidak sedikit penuntut ilmu agama pada zaman beliau yang belajar demi habuan dunia dan kemasyhuran, maka beliau merasakan wajar sekali untuk mengarang kitab yang boleh merawat penyakit hati dengan susunan yang sesuai dengan pemahaman mereka.

Pada pandangan saya, kitab ini turut sesuai ditelaah orang awam kerana setiap manusia tidak terlepas daripada ujian dunia yang rencam dan bukan penuntut ilmu agama sahaja. Bahkan dengan ledakan maklumat menerusi media sosial pada masa kini, masyarakat lebih memerlukan tuntunan kalbu berbanding keperluan lain, maka Ihya’ disediakan al-Ghazali bagi merawat jiwa yang lara.

IBDE menterjemah banyak karya al-Ghazali. Adakah lagi karya lain oleh al-Ghazali yang wajar diterjemah misalnya Tahafut al-Falasifah?

Zahid: Ya sudah tentu, ia wajar diterjemahkan. Bahkan karya-karyanya yang lain seperti al-Mankhul, Kimiya al-Saadah (yang kini sedang diusahakan penterjemahannya oleh IBDE).

Biar banyak versi terjemahannya dalam bahasa Melayu supaya kita dapat mengayakan khazanah bahasa dan keilmuan. Hal ini juga akan memperluaskan akses kepada al-Ghazali yang merupakan panutan di rantau nusantara ini.

Hilmi: Al-Ghazali tergolong sebagai salah seorang ulama yang banyak mengarang karya dalam pelbagai genre. Daripada beberapa karya al-Ghazali yang diterbitkan IBDE, nisbahnya masih sedikit andai dibandingkan dengan keseluruhan karya al-Ghazali.

Meskipun saya berpandangan bahawa bukan semua karya beliau perlu diterjemah, masih ada beberapa karya beliau yang wajar tetapi belum diterjemah ke bahasa Melayu.

Malah sekalipun ada karya al-Ghazali yang sudah diterjemah, sebahagiannya perlu diterjemah semula lantaran manuskrip sumber yang digunakan juga berbeza. Antara karya lain al-Ghazali yang perlu diterjemah berdasarkan justifikasi tadi ialah Tahafut al-Falasifah, Fadaih al-Batiniyyah dan Mishkat al-Anwar.

Selain al-Ghazali, apa lagi karya Islam klasik yang wajar diberi perhatian dan diterjemah?

Zahid: Karya klasik lain yang mungkin perlu diberi perhatian adalah adikarya yang merupakan sumber primer dalam disiplin ilmu Islam. Dan saya secara peribadi, melihat keperluan untuk penterjemahan karya-karya dalam disiplin tasawuf, sejarah, falsafah dan ilmu al-Quran. Mungkin karya tokoh-tokoh seperti Ibnu Hisyam, al-Tabari, Ibnu Rusyd, al-Suyuti dan al-Zarqani boleh diteroka lebih luas.

Hilmi: Karya klasik lain wajar diterjemah secara terhormat dan diberikan letak duduk yang tinggi ialah Muqaddimah Ibnu Khaldun versi lengkap. Saya fikir memandangkan Ihya’ berperanan membentuk peribadi seorang individu, Muqaddimah Ibnu Khaldun pula berperanan membentuk identiti masyarakat.


Pengarang :