Pemenang pingat emas karate lelaki negara S Prem Kumar (kanan) dan pemenang pingat emas karate wanita negara C Shahmalarani (kiri) menunjukkan pingat emas yang dimenangi mereka pada Sukan SEA 2023 Phnom Penh, Kemboja di Chroy Changvar Convention Center pada 6 Mei 2023. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Kontinjen negara lega mula raih pingat dalam Sukan SEA Kemboja

PHNOM PENH, 7 MEI: Sehari selepas temasya Sukan SEA 2023 membuka tirai secara rasmi kelmarin, kontinjen negara boleh menarik nafas lega apabila berjaya meraih pingat semalam.

Ia kerana, ketika beberapa negara sudah pun memenangi pingat sebelum temasya itu berlangsung secara rasmi, kem Malaysia masih ketandusan dalam kutipan pingat sebelum ini.

Pungutan keseluruhan 12 pingat semalam, masing-masing dua emas, dua perak dan lapan gangsa disifatkan oleh Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh sebagai permulaan cemerlang bagi kontinjen negara.

Pujian harus diberikan kepada skuad karate yang menyumbangkan dua emas menerusi juara bertahan C. Shahmalarani yang meraih emas sulung Malaysia dan sejurus kemudian, giliran juara edisi 2019, S. Prem Kumar menghadiahkan emas kedua.

Sukan larian berhalangan menjadi penyumbang pingat pertama negara pada Sukan SEA 2023 menerusi atlet wanita, Wan Athirah Hidayah Ahmad Fuzli, semalam.

Sementara itu, Malaysia berpeluang menambah koleksi pingat emas menerusi skuad hoki dalam dewan.

Pasukan lelaki dan wanita, masing-masing akan turun mempertahankan pingat emas yang dimenangi pada edisi 2019 apabila dijadual membuat perhitungan di pentas final hari ini.

Skuad lelaki negara akan berdepan Indonesia manakala kategori wanita menyaksikan pertembungan antara Malaysia dan Thailand.

Selepas berakhir saingan hari ini, kontinjen negara berada di kedudukan kesembilan.

Tuan rumah, Kemboja mengungguli carta kedudukan pingat dengan meraih 18 emas, 11 perak dan 11 gangsa, diikuti Indonesia di tempat kedua dengan 8-7-11 manakala tangga ketiga dihuni Thailand 7-10-14.

– BERNAMA


Pengarang :