Istiadat Konvokesyen Universiti Selangor (Unisel) ke-16 di Dewan Canselor Unisel kampus Bestari Jaya, Kuala Selangor pada 3 Disember 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

KPM, Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan tangani isu lambakan siswazah perguruan

KUALA LUMPUR, 31 MEI: Kementerian Pendidikan (KPM) bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) telah memulakan usaha proaktif dalam menangani isu graduan lepasan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP), yang belum mempunyai penempatan di sekolah.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata perkara itu, yang turut mengambil pandangan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), diharap dapat diselesaikan tahun ini secara berperingkat.

“Kita (KPM) sudah usaha dengan SPP untuk menangani isu itu. Gerakan dan tindakan proaktif kita adalah bersama SPP,” katanya selepas melancarkan Buku Sokongan Pendidikan Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP), sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan NUTP baru-baru ini bahawa kecenderungan universiti awam dan swasta dalam melahirkan siswazah perguruan tanpa unjuran keperluan KPM, boleh menyumbang kepada isu pengangguran dalam kalangan graduan bidang tersebut.

Media sebelum ini melaporkan 4,390 lepasan ISMP menamatkan pengajian masing-masing antara 2011 hingga 2020, namun sebahagiannya masih tidak mendapat panggilan temu duga untuk ditempatkan di sekolah.

Ahad lalu Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kementeriannya akan bekerjasama rapat dengan KPM, untuk mencari kaedah berhubung isu lambakan siswazah perguruan di negara ini.

Sementara itu, mengulas mengenai pelancaran buku sokongan pendidikan DBP, Fadhlina berkata seramai 37 penulis terdiri daripada guru dan bekas guru, terlibat dalam penghasilan 31 judul buku sokongan pendidikan tersebut.

Beliau berkata semua buku yang diterbitkan DBP itu, merangkumi pelbagai mata pelajaran untuk kegunaan murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah, berdasarkan kurikulum serta sukatan pelajaran yang diguna pakai KPM.

– BERNAMA


Pengarang :